sukan

Malaysia perlukan Kelas A

Usaha untuk terus mempertingkat mutu dan kualiti pemain kebangsaan seharusnya menjadi fokus utama buat semua pemegang taruh bola sepak negara dan tidak hanya terarah kepada pertukaran barisan kejurulatihan susulan kegagalan di Piala AFF 2020.

Ini kerana pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan mutu permainan skuad kebangsaan tampak sukar untuk meningkat sekiranya kualiti pemain yang ada masih berada pada takuk sama.

Malah, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu turut beranggapan pertukaran jurulatih dengan melantik jurulatih import seperti dilakukan Thailand, Indonesia dan Vietnam tidak menjamin perubahan mutu skuad kebangsaan dengan segera.

Adakah menukar jurulatih akan membuatkan mutu skuad kebangsaan menjadi lebih baik? Saya rasa lebih baik untuk kita melihat perkara ini daripada segala sudut kerana bukan jurulatih semata-mata yang menjadi faktor kejayaan sesebuah pasukan.

Kekuatan skuad kebangsaan adalah selari dengan kualiti pemain yang ada. Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memperkasa material untuk skuad kebangsaan khususnya daripada segi pemain, infrastruktur dan sebagainya.

“Seperti kalau kita mahu memasak jugalah, kalau tiada bahan yang bagus, bagaimana mahu memasak lauk yang sedap? Begitu juga dengan skuad kebangsaan, kalau tiada material yang bagus, kita takkan ke mana walaupun dikendalikan jurulatih ternama sekalipun,” katanya.

Terdahulu, skuad kebangsaan berdepan kempen mengecewakan pada Piala AFF 2020 yang menyaksikan mereka sebaris dengan Kemboja dan Laos apabila tersingkir sekadar di peringkat kumpulan.

Justeru, terdapat desakan supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantikan Tan Cheng Hoe dengan melantik jurulatih import bagi mengendalikan Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mengharapkan ‘trag3di’ di Singapura itu dapat dijadikan pengajaran oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ini.

Jelasnya, persediaan yang lebih baik dan sepatutnya perlu dilakukan ke atas skuad kebangsaan dalam mengharungi mana mana pertandingan mahupun aksi persahabatan pada masa akan datang.

Kita lupakan mengenai Piala Suzuki AFF 2020 dan fokus untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 nanti. Dengan apa yang berlaku sebelum ini, saya rasa FAM tahu apa yang perlu dilakukan oleh mereka.

sumber:- BH

“Mereka perlu adakan persiapan yang lebih baik khususnya dengan pembabitan semua pihak termasuklah yang di belakang tabir,” katanya.