sukan

Penantian 3 Tonggak Baru

KOTA KINABALU: Sabah FC masih menunggu kehadiran tiga pemain kebangsaan untuk melengkapkan senarai pemain pasukan Liga Super skuad Sang Badak bagi musim baharu 2022.

Tiga pemain terbabit, Baddrol Bakhtiar, Dominic Tan dan Rizal Ghazali dijadual mula menyertai sesi latihan bersama pemain lain Sabah FC di Kota Kinabalu pada 10 Januari depan.

Perkembangan itu disahkan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pertama Liga Super 2022 skuad Sang Badak di Padang Sintetik, Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

“Hari ini (semalam) adalah sesi latihan pertama. Kita ada tiga fasa untuk bersiap sedia menghadapi latihan pra musim. Apa yang penting ini adalah persiapan rapi untuk kita menghadapi Liga Malaysia musim hadapan.

Kita yakin dengan kehadiran tiga pemain itu nanti akan memperkukuhkan lagi kekuatan Sabah FC. Kita jangka mereka sampai pada 10 Januari depan,” katanya dalam satu kenyataan selepas latihan pertama Sabah FC.

Baddrol yang meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menerima tawaran bermain bersama Sabah FC pada musim depan adalah antara pemain baharu yang terawal diumumkan diikat bersama skuad Sang Badak.

Beliau bersama pemain pertahanan, Dominic Tan yang sebelum ini bermain bersama pasukan Police Tero dalam Liga Thailand serta Rizal juga dari KDA FC bakal menjadi gandingan mantap memperkukuh skuad Sang Badak tahun depan.

Kim Swee berkata Sabah FC akan mengadakan sesi latihan secara berperingkat bagi menyesuaikan peranan pemain dan menyusun semula posisi serta keser4sian semua pemain.

“Dalam minggu pertama tidak banyak yang kita akan lakukan kecuali mendapatkan balik r3ntak agar semua pemain dapat bersama-sama bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang,” katanya.

Seramai 20 pemain termasuk beberapa muka baharu yang berjaya diikat Sabah FC untuk musim depan hadir pada sesi latihan pertama di Padang Sintetik, UMS semalam.

Antaranya ialah penjaga gol baharu, Damien Lim yang sebelum ini beraksi bersama Negeri Sembilan FC; penyerang yang dibawa masuk dari Sarawak United FC, Tommy Mawat dan pemain pertahanan, Mohd Badrul Affendy juga dari Sarawak United.

Selain itu, pemain tengah, Irfan Fazail yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bekas pemain UiTM FC, Dirga Surdi.

Beberapa pemain Sabah FC musim 2021 turut berada dalam senarai latihan, antaranya pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu; N Thanabalan dan Nazirul Naim Che Hashim, selain pemain tempatan, Alto Linus, Rawilson Batuil, Randy Baruh dan Ummareng Bacok.

Selebihnya ialah pemain muda Sabah yang diberi kepercayaan untuk memperku4t skuad Sang Badak iaitu Mohd Ramzi Mustakim, Abd Hanafie Tokyo Abd Hasim, Mohd Nureizkhan Isa Japar, Mohamad Sahrizan Saidin, Gerald Gadit, Mohd Naaim Firdaus Stibin dan Azhad Harraz Arman.

sumber: bh

Difahamkan, tiga lagi pemain, Mohd Amri Yahyah, Stuart John Wilkin dan Saddil Ramdani dijadual menyertai sesi latihan pasukan bermula 3 Januari ini.