sukan Syok Woo Baca

Pelantikan jurulatih Baharu – FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan, Hassan Sazali Waras sebagai jurulatih Skuad Projek FAM-MSN bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Yusri Che Lah.

Pelantikan Hassan Sazali menyaksikan skuad yang dibarisi ‘ubi muda’ itu akan terus berentap pada musim depan sekalipun menamatkan saingan Liga Perdana pada musim ini di tangga terc0rot.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengesahkan skuad itu akan terus dibarisi pelapis dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) untuk memberi peluang mereka terus beraksi secara kompetitif.

“Ada beberapa muka lama akan dikekalkan dan pada masa sama pemain baharu akan dibawa masuk untuk melengkapkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

“Kita melantik bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Hassan Sazali untuk mengemudi pasukan terbabit.

“Seperti sedia maklum, kita tidak meletakkan sasaran cuma mengharapkan pemain muda ini didedahkan dengan saingan liga kompetitif supaya mereka lebih bersedia mengharungi cabaran lebih besar,” katanya.

Sebagai rekod, skuad dibarisi rata-rata pemain berusia 18 dan 19 tahun itu sekadar meraih satu kemenangan dan tiga seri dalam 20 perlawanan yang diharungi sepanjang musim 2021.

Berdasarkan statistik untuk persembahan pula, mereka berjaya menjaringkan 12 gol namun menjadi ‘lubuk gol’ buat pasukan lain apabila dibolosi sebanyak 56 kali.

sumber : BH

Kekalahan terbesar dilakar mereka adalah tumbang 7-1 di tangan naib juara Liga Perdana, Sarawak United serta ditundukkan Terengganu FCII (TFCII) 6-1.