sukan

IMPORT FILIPINA JADI PILIHAN TFC

Kuala Terengganu: Pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott menjadi pelengkap pemain import kelab Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain tengah berdarah kacukan Jerman-Filipina berusia 29 tahun itu menjadi pemain kedua daripada negara berkenaan dipikat TFC Sdn Bhd selain pertahanan, Luke Woodland.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, bekas pemain Melaka United (MU) musim lalu itu menandatangani kontrak selama setahun bersama TFC.

“Kehadiran Ott menjadi pelengkap pemain import skuad TFC bagi musim 2022 setelah dia bersetuju untuk menandatangani kontrak selama semusim.

“Kita harapkan pemain yang menjadi tonggak tengah skuad Hang Tuah musim lalu sehingga berjaya membawa pasukan itu mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2021 mampu memberi impak positif buat pasukan.

“Pemain tengah itu bakal mengisi kuota pemain Asean dan akan memakai jersi nombor 8 musim ini,” kata Ab Rasid.

Sebelum ini TFC Sdn Bhd sudah mengikat tujuh ‘pemain import iaitu Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast), Argzim Redzovic (Montenegro), Jordan Mintah (Ghana), Pape Diakite (Senegal), Habib Haroon (Bahrain) selain Woodland.

Sementara itu, Ott yang pernah beraksi bersama kelab Ratchaburi Mitr Pol dalam Liga Thailand pada 2019 berkata, corak permainan yang diterapkan barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi Zain menarik minatnya untuk mewakili skuad Penyu itu.

Selain itu kehadiran rakan sepasukannya, Woodland dalam pasukan itu turut menarik perhatiannya untuk memilih TFC sebagai destinasinya musim ini.

“Selain kehadiran Woodland, saya tertarik dengan corak permainan yang diterapkan barisan kejurulatihan skuad itu, saya akan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bersama pasukan bagi memastikan misi dan sasaran pasukan tercapai,” katanya.

SUMBER:HMETR0

Musim lalu, Ott meledak dua gol dalam saingan Liga Super manakala empat jaringan dalam pentas Piala Malaysia.