sukan Syok Woo Baca

Kim Pan Gon buat rondaan Mesra

Bermulanya perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah sebagai permulaan tirai Liga Malaysia (Liga M) 2022 Sabtu lalu, ini bermakna ‘pintu uji bakat’ untuk menyertai pasukan Harimau Malaya turut kembali terbuka seluasnya.

Ini bakal menjadi detik penting buat pengendali baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dalam misi memilih pemain terbaik bagi tugasan sulungnya pada aksi kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hujung bulan depan.

Pan Gon akan berdepan ujian pertamanya bersama skuad kebangsaan apabila anak buahnya dijadual berdepan Filipina dan Singapura dalam aksi persahabatan yang akan berlangsung di Singapura.

Situasi jelas kritikal buat pengendali dari Korea Selatan itu memandangkan selepas aksi Sumbangsih, dia hanya memiliki 12 perlawanan Liga Super untuk menilai pemain yang dirasakan berpotensi untuk dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Namun ada lagi 10 perlawanan dalam Liga Perdana sekiranya dia berhasrat untuk ‘menggali’ lebih dalam dan memberi peluang kepada muka baharu sekali gus membentuk kombinasi lebih ‘segar’ untuk skuad kebangsaan kali ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Pan Gon pasti memanfaatkan aksi Sumbangsih serta perlawanan pertama dan kedua Liga M untuk mendapatkan pemain yang dimahukan bagi panggilan kali ini.

Saya ingat jurulatih sedang memantau aksi Sumbangsih dan dua perlawanan liga. Saya fikir perlawanan ini akan digunakan untuk membuat penilaian ke atas pemain yang berhak dipanggil.

“Pan Gon pasti akan memilih pemain yang dirasakan sesuai untuk strategi dan ideanya serta pemain yang dapat memenuhi apa yang dimahukannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusoff turut mengesahkan badan induk itu mengambil cadangan yang dilontarkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya di mana jurulatih skuad kebangsaan akan turut memegang jawatan sebagai pengurus pasukan.

Memang tiada pengurus baharu kerana kita sudah tetapkan bahawa jurulatih (Pan Gon) sendiri akan jadi pengurus mulai sekarang.

sumber:- HM

“Jadi, tiada timbul isu lantikan pengurus baharu ataupun saya membuat pusingan U (kembali jadi pengurus skuad kebangsaan),” katanya.