sukan

Kelantan FC yakin mampu mencapai sasaran

Pasukan Liga Perdana, Kelantan FC yakin mampu mencapai sasaran jualan RM2 juta jersi pasukan itu pada musim ini, selepas berjaya mencatat sebanyak RM1 juta musim 2021.

Pemilik kelab, Norizam Tukiman berharap dengan rekaan jersi yang menarik mampu memberi keyakinan kepada penyokong setia pasukan itu untuk memiliki koleksi jersi berkenaan pada musim ini.

“Kita menggunakan enam bahan dalam satu baju jersi ini, dengan setiap cetakan adalah direka khas manakala setiap inci mempunyai logo TRW Kelantan FC. Jahitan kolar juga eksklusif di mana menyukarkan jersi ini ditiru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan jersi dan pengenalan pasukan Kelantan FC dan rakan strategik musim 2022 di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan, Panji, di sini, malam tadi.

Pada musim ini, Kelantan FC memperkenalkan tiga jersi baharu iaitu warna merah putih dengan jalur minimal sebagai jersi tuan rumah. Konsep jersi utama ini mengambil aura zaman kegemilangan pasukan ini selain membawa semangat warna bendera negeri Cik Siti Wan Kembang.

Bagi jersi di tempat lawan, pasukan membawa kombinasi warna hitam berjalur merah manakala jersi ketiga memberi kelainan warna biru bercorak keemasan. Turut diperkenalkan tiga jersi lain bagi penjaga gol.

Norizam yakin penyokong setia skuad Kijang akan mendapatkan jersi yang original sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun dalam masa sama, pihaknya juga akan menjalin kerjasama bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengatasi masalah jersi cetak rompak.

sumber: bh

Turut diperkenalkan pada majlis itu adalah 24 rakan str4tegik yang menaja pasukan selain 33 barisan pemain termasuk 20 pemain baru serta 13 barisan jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim 2022.