sukan

Saya harap dapat gilap lebih banyak pemain berbakat seperti Safawi dan Arif

Pengarah Teknikal Terengganu, Tomislav Steinbruckner, menganggap Sang Penyu sedang meniti landasan tepat untuk menjadi sebuah pasukan yang lebih disegani pada musim ini.

Steinbruckner yang berdarah Croatia-Jerman bukanlah asing bagi peminat tempatan apabila pernah mengemudi T-Team pada 2015 dan selepas beberapa hari tamat tempoh kuar4ntin w4jib sebaik tiba di Malaysia, dia kini sedia memegang amanah baru itu bagi membantu persiapan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

“Pasukan membawa masuk pemain lebih berpengalaman dan berkualiti berbanding tahun lalu. Saya telah mengikuti perkembangan Terengganu sejak tahun lalu lagi.

“Saya tahu situasi dalam kelab ini dan juga hajat penyokong. Kami di kelab ini pun menjangkakan pencapaian lebih besar, kedudukan lebih baik dan ini semua adalah normal.

“Kita sentiasa inginkan yang lebih baik lagi.

“Saya sangat terkejut dengan kualiti dimiliki pasukan ini terutama pasukan simpanan yang terdiri daripada pemain tempatan ketika menentang pasukan utama dalam perlawanan ujian tempoh hari.

“Pemain simpanan ini mempamerkan kesungguhan, memiliki kemahiran dan tidak gentar,” katanya mengenai misi bersama kelab Pantai Timur itu.

Dalam masa sama, dia akan memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju bola sepak kelab itu sambil berharap dapat mencungkil bakat dalam kalangan warga tempatan.

“2015 saya kerap menurunkan Safawi Rasid dalam kesebelasan utama pada usia 16 tahun, begitu juga dengan pertahanan kiri kami ketika ini, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar, dan ada juga bekas anak buah saya yang sudah pun bersara daripada bola sepak.

“Saya harap dapat menggilap lebih banyak pemain berbakat seperti Safawi dan Arif,” katanya lagi.

Sementara itu, Rahadiazli Rahalim sedia merebut semula tempatnya di posisi pintu gol selepas berehat hampir setahun akibat kecederaan lutut yang serius.

Sepanjang ketiadaannya, penjaga gawang skuad pelapis, Suhaimi Saad, semakin mendapat tempat dalam percaturan Nafuzi.

“Alhamdulillah sekarang saya tidak berasa sebarang kesakitan lagi, pulih sepenuhnya.

“Saya berterima kasih kepada pakar fisioterapi kerana banyak memberi sokongan termasuk keluarga.

“Sekarang terpulang kepada jurulatih penjaga gol untuk menilai prestasi saya.

sumber : SA

“Saya juga masih perlu bekerja keras terutama dalam aspek menyentuh dan menangkap bola,” katanya.