sukan

Perak FC memang Laku rupanya

Hanya dalam tempoh tidak sampai seminggu sekurang-kurangnya lima individu sudah mula merisik Perak FC untuk membeli pasukan terbabit yang dijual dengan tanda harga RM1.

Malah, jika segala-galanya berjalan lancar, kemungkinan Perak FC akan mendapat tuan baru selewat-lewatnya minggu depan sekali gus memberi nafas baharu kepada pasukan terbabit yang dilihat hampir terkubur.

Menurut sumber, walaupun sudah dihubungi lima individu berkenaan namun hanya tiga daripada mereka menunjukkan minat untuk memiliki Perak FC sekali gus menanggung segala hutang skuad Bos Gaurus.

Beliau berkata, ketika ini perbincangan bersama pihak berkenaan yang terdiri daripada dua syarikat tempatan dan satu lagi adalah perseorangan berjalan lancar seterusnya hanya menunggu jawapan daripada mereka berkaitan terma serta syarat yang ditetapkan.

“Sekarang ini, saya dimaklumkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd boleh dikatakan pada peringkat akhir untuk menyerah Perak FC kepada ‘tuan’ baru. “Perkara itu pun dalam pengetahuan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali gus Perak FC akan berwajah baharu kelak.

“Apa yang boleh saya maklumkan, ‘bos’ baru Perak FC mempunyai sumber kewangan kukuh dan mampu menerajui pasukan terbabit dengan jayanya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa Impact IMC Sdn Bhd meletakkan tanda harga Perak FC hanya RM1 kepada individu atau syarikat yang mahu memiliki pasukan terbabit.

Harga terbabit boleh dianggap tidak masuk akal namun keadaan tenat yang melanda skuad Bos Gaurus menyebabkan IMC terpaksa mengambil keputusan terbabit untuk melepaskan pasukan itu dalam masa terdekat ini.

sumber:- HM

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Muhammad Yunus Zakariah memaklumkan bahawa, pihaknya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan hutang pasukan termasuklah tunggakan gaji.