Semasa sukan

JDT kena pintas jua

NEGERI Sembilan merampas status pendahulu Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching pada Jumaat.

Bagaimanapun dalam aksi itu, Sarawak, yang bergelut di zon penyingkiran, terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Boris Kok pada minit ke-51, sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-64 selepas Gonzalo Soto mengasari pemain kelahiran Ghana, David Mawutor di dalam kawasan penalti.

Selang lima minit kemudian skuad kendalian K Devan berjaya meraih jaringan kemenangan menerusi striker import dari Brazil Matheus Alves, yang berjaya melakukan larian solo dan mengatasi tiga pemain Sarawak sebelum mer3mbat masuk bola ke gawang pada minit ke-69.

Tiga mata di laman lawan itu menyaksikan Negeri Sembilan merampas status pendahulu daripada JDT dengan 14 mata selepas enam perlawanan, diikuti juara bertahan JDT yang mempunyai 12 mata selepas empat aksi, Sabah (12 mata, enam perlawanan) dan KDA (12 mata, tujuh perlawanan).

Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC terlepas peluang merampas kedudukan teratas Liga Super, selepas dikejutkan kekalahan 2-3 kepada Melaka United di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Skuad Sang Kenari terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan kencang penyerang import dari Cameroon, Ronald Ngah pada minit ke-20, selepas menerima hantaran daripada Muhammad Syafiq Ahmad.

Namun, Melaka yang dikenali sebagai skuad Sang Kancil, hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Ifedayo Olusegun, yang merupakan jaringan sulung striker dari Nigeria itu bagi musim ini.

Muhammad Syafiq kembali meletakkan Kedah di hadapan, apabila melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-37, tetapi kelebihan itu dinafikan oleh jaringan Emmanuel Oti pada minit ke-79, akibat kesilapan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

sumber:- SH

Ifedayo kemudian muncul wira Melaka apabila menanduk masuk hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha pada masa kec3deraan babak kedua untuk menamatkan aksi dramatik itu dengan kemenangan kedua berturut-turut musim ini.