sukan

JDT perlu siap sedia dan ambil perhati4n

Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) menjanjikan persembahan terbaik dalam misi mendapatkan keputusan positif pada pertembungan dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu ini.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Haniff Johan berkata, dia dan rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin sememangnya menantikan pertembungan dengan juara lapan kali berturut-turut itu bagi menilai kekuatan sebenar pasukannya.

Pertembungan dengan JDT sememangnya dinantikan bukan sahaja peminat pasukan tetapi juga pemain.

Sebagaimana umum tahu, JDT adalah pasukan yang ada kelas tersendiri bukan kerana mereka juara lapan kali Liga Super tetapi beraksi cemerlang di pentas kelab-kelab Asia.

“Sebagai pendatang baharu dalam Liga Super, kami amat teruja untuk bertemu dengan JDT bagi menguji kekuatan sebenar pasukan dan melalui keputusan, kami dapat membuat penilaian serta memperbaiki sebarang kelemahan untuk memacu pasukan ke hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Tonggak berpengalaman berusia 31 tahun itu yang membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Liga Perdana musim lalu, berkata dia dan rakan sepasukan akan beraksi seperti biasa, namun sedar perlawanan itu nanti menuntut setiap pemain menggandakan kekuatan.

Menurut pemain kelahiran Seremban ini, fokus mereka adalah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga yang dicapai ketika ini dan dengan kelebihan beraksi di laman sendiri bukanlah suatu yang mustahil untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

“Fokus kami adalah tidak mahu tewas kepada JDT dan kami akan berusaha mempertahankan gawang pasukan dengan sebaiknya. Saya percaya setiap pemain akan bekerja keras untuk mempertahankan rekod itu.

sumber:- BH

“Namun kami juga sedar untuk mencapai sasaran itu bukan mudah, namun dengan prestasi semasa pasukan yang memberangsangkan ketika ini selepas menang ke atas Sarawak United, Jumaat lalu, diharap momentum berkenaan berterusan,” katanya.