sukan

JDT sudah Tekad

Kelab manakah yang mampu menjadi pasukan pertama menghalang penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada mendapatkan mata penuh dalam saingan Liga Super musim ini?

Selepas lima perlawanan, belum ada mana-mana lagi pasukan berjaya mencalarkan rekod bersih skuad Harimau Selatan yang menyaksikan mereka melakar rekod bersih menang semua perlawanan setakat ini.

Dengan rekod sempurna itu, ini adalah permulaan musim selepas lima perlawanan yang terbaik pernah dilakar anak buah Benjamin Mora itu sejak 2013.

Menerusi statistik yang dikeluarkan Johor Southern Tigers, ini kali pertama mereka menghimpun 15 mata maksimum selepas lima perlawanan dan mengulangi pencapaian 2019 dengan 13 gol.

Namun apa yang menjadikan musim ini lebih cantik apabila hakikat di mana mereka hanya melepaskan satu gol – rekod terbaik sebelum ini adalah hanya bolos dua gol yang dicatat pada musim 2018.

Apapun, langit tidak selalu cerah kerana di sebalik laluan mereka mendominasi kancah bola sepak tempatan, ada kalanya mereka tetap bergelut khususnya pada 2014 yang menjadi permulaan terburuk mereka.

Musim terbabit menyaksikan mereka hanya mengutip tujuh mata menerusi dua kemenangan dan satu seri selepas lima perlawanan selain meledak 10 gol dan dibolosi tujuh kali.

Rentak kurang memberangsangkan itu bagaimanapun tidak menghalang mereka daripada merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama apabila menamatkan saingan dengan 44 mata.

Selepas kejuaraan sulung itu, mereka jelas tidak berpaling ke belakang apabila terus unggul dalam kejuaraan liga tempatan dan menghimpun lapan gelaran Liga Super berturut turut.

sumber:- BH

Layak ke pusingan kalah mati Liga Juara Juara Asia (ACL) serta permulaan musim yang sempurna, ini adalah detik terbaik yang harus dinikmati penyokong setia JDT.