Selepas ‘dibekukan’ daripada kem latihan pusat sebelum ini, striker naturalisasi negara, Guilherme de Paula kembali dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi persiapan mengharungi dua aksi persahabatan dan Kelayakan Piala Asia 2023.
Striker berusia 36 tahun itu adalah antara sembilan pemain baharu yang dipanggil Pan Gon selain Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Junior Eldstal dan Norshahrul Idlan Talaha.
Tiga pemain lagi adalah Syahmi Safari dan Darren Lok yang tidak dapat bersama pada kem latihan pusat sebelum ini serta Nazmi Faiz Mansor.
Secara keseluruhan, pengendali dari Korea Selatan itu memanggil 29 pemain dengan Pan Gon mengekalkan 20 daripada 25 pemain yang dibawa ke Singapura bagi aksi Tiga Negara yang berlangsung, Mac lalu.
Tiga daripadanya iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, Ramadhan Saifullah Usman dan Zhafri Yahya diletakkan dalam Senarai Bersedia manakala dua lagi pemain iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Quentin Cheng kini bersama skuad B-23 di Sukan SEA Vietnam.
Selain Aidil, Ramadhan dan Zhafri, lapan pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia adalah Natxo Insa, Sharul Nazeem Zulpakar, Shahrel Fikri Md Fauzi, A Selvan, Khatul Anuar Md Jalil, Rizal Ghazali, Nur Shamie Iszuan Amin dan Arif Fadzilah Abu Bakar.
Mengulas mengenai pemilihan pemain khususnya beberapa muka baharu yang dipanggil, Pan Gon menjelaskan fokus utamanya adalah untuk menguji semua kekuatan yang dimiliki skuad kebangsaan bagi membentuk pasukan lebih mantap menjelang aksi kelayakan nanti.
Saya lebih berpuas hati kerana dapat melihat lebih banyak pemain kali ini dan kita mendapat sokongan yang diperlukan daripada semua pasukan. Saya tidak berfikir mengenai individu tetapi lebih kepada pasukan.
“Ini adalah panggilan yang kedua, jadi saya tidak mahu menyesal sekiranya tidak dapat melihat semua kekuatan yang kita ada. Sebab itulah saya mahu menilai semua pemain ini dan gunakan dua aksi persahabatan untuk melihat persembahan mereka dengan mata saya sendiri.
Kita melihat hampir semua pemain secara langsung ataupun tidak langsung dan mungkin ada pemain yang kami tidak dapat lihat dalam liga tetapi saya percaya mereka berbakat. Sebab itulah kita panggil mereka untuk bersedia.
sumber:- BH
“Saya mahu mewujudkan suasana yang kompetitif supaya dapat melihat bagaimana reaksi dan profesionalisme pemain serta prestasi mereka. Ini perkara yang akan kita nilai nanti. Jadi, fahami dan terima keputusan ini,” katanya.