sukan

Persiapan menentang JDT II

Pasukan Terengganu FC II (TFC II) bakal diperkuatkan enam pemain skuad ‘abang’, Terengganu FC (TFC) dalam misi memburu tiga mata berdepan pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Pemain berkenaan termasuk dua pemain sayap, Mohd Faiz Nasir dan Hakimi Abdullah, pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle dan Muhammad Azalinullah Mohammed Alias Azalinullah Alias, pemain pertahanan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni serta striker Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob.

Pengendali skuad The Turtles, Badrul Afzan Razali berkata, selain enam pemain berkenaan, skuadnya bakal diperkuatkan dengan pemain import Filipina, Luke Woodland selain Jordan Mintah yang diletakkan sebagai pengg3mpur utama.

Katanya, kehadiran enam pemain berkenaan ditambah dengan tonggak import bakal menambah lagi kekuatan pasukannya di setiap posisi terutama selepas kehilangan tiga pemain tonggaknya.

Pemain tengah, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dan pemain pertahanan, Safwan Mazlan kini menggalas tugas bersama skuad Harimau Muda dalam saingan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam manakala pertahanan importnya, Argzim Redzovic digantvng satu perlawanan berikutan kad merah diterima ketika berdepan Kelantan FC pada aksi sebelum ini.

Kehadiran enam pemain berkenaan sudah tentu bakal menambah lagi kekuatan pasukan kami untuk berdepan dengan JDT II yang pasti hadir untuk merakam kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Saya yakin dan percaya jika pemain beraksi mengikut perancangan yang diatur, kemenangan pasti memihak kepada kami lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri di tambah tempoh rehat mencukupi.

“Lagipun perlawanan itu adalah aksi terakhir di tempat sendiri pada pusingan pertama, jadi bagi mengelak kami keciciran mata, misi wajib menang menjadi fokus kami,” katanya yang mengharapkan anak buahnya beraksi bagaikan pentas final untuk memburu kemenangan.

sumber:- HM

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad TFC II menghuni di tangga kelima liga dengan mengutip 10 mata hasil enam perlawanan manakala JDT II mengutip 18 mata daripada tujuh perlawanan.