sukan Syok Woo Baca

Vietnam cipta kejutan

Kegembiraan berganda buat k0ntinjen tuan rumah, Vietnam, apabila bukan sahaja akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Sukan SEA Hanoi 2021 menjelang upacara penutupan esok, malah turut memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi.

Kejayaan itu juga menyaksikan pasukan bimbingan Park Hang-seo itu menjadi pasukan tuan rumah pertama memenangi ibu segala pingat berkenaan selepas kali terakhir dilakukan Thailand dalam edisi di Nakhon Ratchasima pada 2007.

Dalam aksi final kali ini, gol tunggal Nham Manh Dung pada lewat permainan sudah cukup untuk pasukan Naga Emas itu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi di Manila tiga tahun lalu.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati sepanjang babak pertama, di mana bola kerap berlegar-legar di kawasan tengah untuk keputusan tanpa jaringan kekal sepanjang 45 minit.

Bagaimanapun, intensiti berbeza dipamerkan mereka dalam babak berikutnya bermula dengan sepakan voli Worachit Kanitsribampen buat Thailand yang melambung tinggi.

Airfan Doloh juga mempunyai peluang keemasan untuk meletakkan juara 16 kali, Thailand, di depan tetapi percubaannya terbias pertahanan lawan.

Manh Dung memiliki peluang lebih awal untuk memecahkan kebuntuan buat tuan rumah pada 11 minit terakhir tetapi bola terlebih dahulu terkena tangannya.

Ketika perlawanan kelihatan akan diheret ke masa tambahan, Manh Dung menebus kegagalannya dengan menanduk masuk lintangan Phan Tuan Tai pada minit ke-83.

sumber:- SA

Sebagai rekod, ia merupakan pingat emas ketiga Vietnam dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA selain turut pernah bergelar naib juara sebanyak tujuh kali.