sukan

Komen Dari Hati Farizal Marlias sendiri

Kegagalan meraih kemenangan dalam empat pertemuan sejak November 2012 tidak akan mengganggu fokus skuad Harimau Malaya apabila berdepan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Menurut penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias, biarpun rekod memihak pasukan Hong Kong sejak 10 tahun lalu, namun dia enggan terlalu memikirkan soal itu dengan percaya badi itu mampu dipadamkan di depan penyokong tempatan.

Jelasnya, apa yang penting adalah persediaan pasukan yang akan tampil berbeza dengan corak bola sepak moden sambil menekankan aspek penguasaan bola dan bermain secara pantas.

Bagi saya aksi lepas biarkan berlalu, yang penting adalah perkara sekarang, persembahan pemain dan persediaan kita, Saya tak nak terlalu memikirkan tentang pasukan lawan dan sebagainya.

“Persiapan kita paling penting dan cara kita bermain. Jurulatih ada cakap, kita akan cuba melakukan identiti kita sendiri dengan dominan permainan, tempoh dan intensiti,” katanya pada sidang media pra-perlawanan diadakan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ‘bertentang mata’ adalah pada 10 Oktober 2017 dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 di Hong Kong yang menyaksikan Malaysia tumbang 0-2.

Begitupun di sebalik badi 10 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad The Strength itu, skuad Harimau Malaya sebenarnya sudah 10 kali menewaskan pasukan itu sejak 1963 dengan kedua-duanya bertemu sebanyak 25 kali.

Selain 10 kemenangan itu, pasukan negara tewas lapan kali dan seri sebanyak tujuh kali dengan kemenangan terbesar Malaysia ke atas Hong Kong 4-0 dalam saingan Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1994.

Farizal berkata, beraksi di ‘rumah Harimau Malaya’ iaitu di Bukit Jalil harus dimanfaatkan untuk mencipta kemenangan, sekali gus hadiah paling bermakna buat penyokong negara.

Perkara itu sangat penting dan sudah lama sebenarnya kita tak ada aksi antarabangsa. Jadi, ini adalah peluang untuk kita tunjukkan sesuatu buat penyokong yang sudah lama tidak menyaksikan aksi antarabangsa.

sumber:- HM

“Persiapan kita sangat baik kerana bermain di tempat sendiri, jadi kita kena gunakan sepenuhnya kelebihan dan saya lihat komitmen pemain sangat baik dan harap ia diteruskan,” katanya.