Jent3ra tengah pasukan Terengganu FC (TFC) dijangka bertambah mantap selepas bekas pemain Selangor FC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim sah bersama skuad Penyu apabila jendela kedua perpindahan pemain dibuka bermula Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain berusia 25 tahun yang dipinjam daripada skuad The Red Giants itu bakal menjalani latihan bersama TFC bermula hari ini.
Pemain itu (Nik Sharif Haseefy) sah bersama TFC secara pinjaman selama tempoh enam bulan sehingga akhir musim ini.
“Pemain kelahiran Kuantan itu yang memulakan kariernya bersama Akademi Pahang sebelum menyarung jersi skuad senior bermula 2018 dan berhijrah ke Selangor FC musim ini akan melapor diri menjalani sesi latihan pertama pada hari ini di bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain.
“Kita harapkan kehadiran pemain yang boleh beraksi di posisi sayap kiri dan kanan serta tengah itu bakal memantapkan lagi pasukan dalam misi memburu sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini,” katanya.
Ab Rasid berkata, kehadiran pemain itu bakal memberi saingan lebih sengit kepada pemain lain terutama di jentera tengah pasukan.
Katanya, ia memberi pilihan luas kepada barisan kejurulatihan untuk menyenaraikan pemain yang berada pada tahap prestasi terbaik.
Selain Nik Sharif Haseefy, posisi sayap kiri dan kanan skuad Penyu itu turut menjadi rebutan pemain sedia ada termasuk Mohd Faiz Nasir, Hakimi Abdullah, Muhammad Rahmat Makasuf dan Faisal Halim.
sumber:- HM
Berdasarkan kedudukan dalam carta Liga Super, TFC yang baharu beraksi empat perlawanan kini menghuni di tangga ke-11 liga dengan mengutip enam mata menerusi dua kemenangan.