sukan Syok Woo Baca

16 pasukan bakal berentap – Piala Sultan

JOHOR BAHRU: Sebanyak 16 pasukan bakal berentap bagi merebut enam piala termasuk Piala Sultan Johor dan Piala Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam saingan Liga Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JFL) 2022 yang akan bermula Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim berkata empat lagi piala yang dipertandingkan ialah Piala Temenggong Johor, Piala Tunku Laksamana Johor, Piala Tunku Panglima Johor dan Piala Tunku Putera Johor.Kita akan bermula dengan Piala Tunku Putera Johor sehingga kemuncaknya iaitu Piala Sultan Johor.

“Ia akan bermula 4 Jun dan dijangka tamat akhir tahun ini, kerana (bagi) setiap piala, pasukan akan bermain (bersaing) dalam tempoh dua bulan,” katanya pada sidang media selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PBNJ dan Yayasan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan JDT, Datuk Mohd Noorazam Osman, di sini hari ini.

Ismail berkata kejohanan seperti itu dapat mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak dan penglibatan pasukan dari kesemua daerah di negeri ini amat menggalakkan.

Katanya, sebanyak 33 perlawanan akan berlangsung bagi setiap piala dan johan bagi Piala Sultan Johor akan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan naib juara RM2,500, manakala johan bagi Piala Tunku Mahkota Johor pula bakal memenangi wang tunai RM4,000 dan RM2,000 bagi naib juara.

Johan bagi Piala Tunku Temenggong Johor dan Piala Laksamana Johor masing-masing RM3,000 dan naib juara RM1,000 manakala johan Piala Tunku Putera Johor dan Piala Tunku Panglima Johor pula masing-masing RM2,000 dan naib juara RM1,000,” katanya.

Sementara itu, Mohd Noorazam berkata MoU antara PBNJ adalah bagi menjalinkan kerjasama dalam program pembangunan sukan bola sepak.

– BERNAMA