sukan Syok Woo Baca

Ngauman Harimau Muda di Uzbekistan musim ini

Tutup cerita Sukan SEA 2021 di Hanoi. ‘Gendang p3rang’ skuad Bawah 23 tahun (B-23) kembali dipalu selepas mereka berdepan satu lagi aksi penting iaitu saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Tashkent, Uzbekistan.

Bukan lagi aksi memanaskan badan seperti di Vietnam kerana ini adalah medan sebenar buat anak buah Brad Maloney menunjukkan kemampuan untuk menerkam bagaikan harimau.

Namun, laluan untuk menempa kejayaan di pentas tertinggi Asia itu tidak seperti di atas ‘permaidani merah’ – ranjau berduri akan menanti mereka selepas diundi dalam Kumpulan C.

Siapa yang menanti mereka dalam Kumpulan C? – Ada juara bertahan iaitu Korea Selatan; ada naib juara edisi 2018, Vietnam selain seteru tradisi serantau yang juga gergasi Asia Tenggara, Thailand.

Tidak syak lagi saingan in bagaikan kumpulan maut untuk skuad Harimau Muda di Uzbekistan ini kerana Malaysia boleh dianggap pasukan yang paling lemah dalam Kumpulan C ini.

Berdasarkan reputasi dan kekuatan pasukan, Korea Selatan pasti menjadi pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan C sekali gus menyaksikan kemungkinan hanya slot naib juara yang tinggal untuk direbut sama rata oleh tiga wakil ASEAN itu.

Justeru, apakah peluang yang ada pada anak buah Brad Maloney untuk mengintai tempat ke suku akhir sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2018?

Jika prestasi pada Sukan SEA boleh dijadikan kayu pengukur, skuad negara tampak memiliki peluang yang cerah untuk memberi saingan kepada Thailand dan juga Vietnam.

Dua pasukan itu diperkuat dengan pemain lebih usia pada Sukan SEA – tidak seperti Malaysia yang mempertaruhkan keseluruhan pemain berusia 23 tahun ke bawah namun berjaya ‘menggoncangkan’ dua pasukan itu.

Malaysia mengejutkan skuad Gajah Perang itu dengan kemenangan dramatik 2-1 sebelum berjaya membuatkan skuad bimbingan Park Hang Seo itu mati akal dan hanya tewas 1-0, itupun pada masa tambahan.

Tiada pemain lebih usia dibenarkan – kali ini semuanya dibarisi pemain berusia bawah 23 tahun jadi kekuatan Thailand dan Vietnam yang beraksi di final Sukan SEA pasti berkurangan pada pentas Piala AFC.

Beraksi dengan pemain pada kelompok usia yang sama tanpa kehadiran ‘Abang Long’ ataupun ‘Abang Ngah’ – kesempatan ini sepatutnya menjadi peluang yang perlu dimanfaatkan Malaysia sebaiknya untuk mengutip mata dalam dua perlawanan ini.

Apa yang penting, pemain negara lega dengan langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak meletakkan sasaran tinggi – ini boleh menjadi faktor ‘feel good’ di mana pemain boleh beraksi tanpa sebarang tekanan.

Berpegang pada kalimat ‘nothing to lose’, pemain negara perlu memperagakan aksi yang benar- benar terbaik untuk menggegar bumi Tashkent.

Benar pemain Korea Selatan itu hebat. Pemain Vietnam berlari bagaikan tidak penat dan pemain Thailand pun bagus – tetapi mereka juga ada sepasang kaki sama seperti kalian.

Masuk ke padang dengan penuh semangat dengan membawa maruah negara kerana jika kalian tidak ada semangat yang berkobar-kobar, kalian sudah pun ‘terk0rban’ sebelum berjuang.

Lupakan kegagalan di Hanoi kerana ia sudah berlalu, kini bumi Tashkent menggamit pemain negara untuk mencipta satu lagi sejarah baharu buat bola sepak negara.

sumber:- BH

Ingat, tiada istilah mustahil dalam kamus bola sepak jadi selamat maju jaya buat skuad B-23 di Tashkent.