sukan

Tugas berat akan menanti

Ketua Jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan menyifatkan tugas amat berat menanti beliau selepas dilantik sebagai pengendali baharu Skuad Harimau Kumbang.

Beliau berkata, peringkat paling mencabar ialah memperbaiki pasukan tertakluk kepada masa dan kelulusan daripada pengurusan Skuad Harimau Kumbang.

Insya-Allah saya akan memperbaiki pasukan dan buat yang terbaik. Kita tahu kedudukan pasukan dalam Liga Super, jadi tugas yang amat berat menanti saya untuk memperbaiki pasukan.

“Saya seorang tidak boleh membuat keajaiban. Saya perlu sokongan semua.Terima kasih kepada pengurusan Penang FC dan pasukan kerana memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan pasukan,” katanya.

Bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu pernah membimbing pasukan Pulau Pinang pada 2017 hingga 2018 sebelum berpindah ke Melaka United pada 2019.

Zainal Abidin, 60, berkata secara peribadi beliau melihat ada kelemahan di bahagian pertahanan yang perlu diteliti selain input serta pandangan Penolong Jurulatih, Manzoor Azwira dan Chong Yee Fatt amat diperlukan bagi memperkemaskan strategi pasukan pada masa akan datang.

Selepas saya mengadakan mesyuarat bersama pihak pengurusan, ini adalah masanya dalam beberapa hari saya akan meneliti pasukan.

“Insya-Allah akan ada sedikit perubahan atau penggantian pemain akan dibuat untuk memperbaiki pasukan selepas perbincangan dibuat,” katanya.

sumber:- BH

Ketika ini, Penang FC berada di tangga terakhir liga dengan sekadar memungut tiga mata selepas mengharungi lapan perlawanan.