sukan

Brad Maloney Berikan Komen

Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney mengakui hanya kesilapan kecil menyebabkan pasukannya dihukum dengan empat jaringan oleh Korea Selatan pada perlawanan pertama Kumpulan C Piala Asia B-23 malam tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan itu menyaksikan skuad B-23 negara cukup sukar untuk menyerap corak permainan laju ditampilkan Korea Selatan sekali gus menyaksikan kubu Malaysia dibolosi empat kali.

Malaysia pula cuba merapatkan jurang pada 10 minit terakhir perlawanan, namun kealpaan benteng pertahanan dihukum dengan dua gol saat akhir sekali gus skuad B-23 negara tewas 1-4 di tangan Korea Selatan.

Maloney berkata, walaupun pasukannya tewas kepada juara bertahan itu namun secara keseluruhan beliau tetap berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan mereka.

Sudah pastinya kami menjangkakan perlawanan akan menjadi cukup sukar kerana mereka (Korea Selatan) adalah juara bertahan sekali gus kesukaran kepada kami untuk beraksi dengan baik.

Tetapi saya bangga dengan persembahan pemain saya yang tidak pernah mengaku kalah. Mereka berjaya memperoleh satu gol dan kemudian terus cuba menekan untuk mengejar gol dan beberapa kesilapan mengundang padah buat kami.

“Namun, apa yang boleh saya katakan apabila beraksi dengan pasukan yang hebat sudah tentu mereka akan menghukum kita apabila melakukan kesilapan kecil,” katanya.

Selain itu, Maloney mengakui pemainnya mengamalkan corak bertahan yang cukup berdisiplin sekali gus sukar untuk penyerang Korea Selatan menjaringkan gol pada awal permainan separuh masa pertama.

Kami sangat berdisiplin pada separuh masa pertama yang mana menyaksikan pemain Korea perlu bekerja keras untuk mendapatkan gol.

“Masuk saja separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih terbuka untuk mengejar gol dan berjaya mendapat satu gol tetapi pada masa sama kami memberikan beberapa peluang kepada pemain lawan yang mana menyebabkan bolos dua gol,” katanya.

Malaysia kini menduduki tangga tercorot kumpulan selepas Thailand dan Vietnam berkongsi satu mata pada satu lagi perlawanan Kumpulan C.

sumber:- HM

Pasukan negara akan turun beraksi untuk perlawanan seterusnya men3ntang pasukan jiran, Thailand Ahad ini dan aksi terakhir bertemu pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi, Vietnam (8 Jun).