sukan Syok Woo Baca

Disebalik Ungkapan Dari Dion Cools

“LEBIH baik terlambat daripada tidak sama sekali,” demikian ungkapan pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools.

Pemain benteng pertahanan skuad Harimau Malaya itu genap 26 tahun pada Sabtu namun sanggup menunggu lebih lama untuk menerima hadiah hari jadi yang lebih bermakna iaitu membantu skuad negara layak ke Piala Asia 2023.

“Saya harap kami boleh melayakkan diri dan segala-galanya akan menjadi sempurna…iaitu hadiah hari jadi sebenar untuk saya ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan pada Sabtu.

Dalam pada itu, pemain yang berpangkalan di Belgium itu, mengakui dia lebih gemar bermain di bahagian bek tengah kerana ia membantunya melihat dengan jelas situasi di atas padang.

“Kadang-kadang apabila saya bermain di bahagian belakang kanan, agak sukar untuk membantu bahagian kiri tetapi jika mereka memerlukan saya bermain di sebelah kanan, kiri atau mana-mana tempat, saya akan sentiasa cuba beraksi dengan baik,” tambahnya.

Cools gembira dapat mengikuti kem latihan skuad kebangsaan awal kali ini selepas hanya menyertai dua kali sesi latihan kem nasional pada saat-saat akhir menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Piala AFF di Singapura tahun lalu.

Susulan penyertaan kem latihan lebih awal, pemain pasukan SV Zulte Waregem di Liga Belgium itu, percaya ia pasti membantu untuk mengetahui lebih lanjut rancangan ketua jurulatih Kim Pan-gon menjelang pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu depan.

Bukan itu sahaja, Cools berkata, ketibaan awalnya di kem latihan juga akan memberi manfaat kepada Pan-gon untuk mengumpulkan semua pemain pada satu-satu masa serta memastikan sesi latihan berjalan lancar.

Walaupun telah mengesahkan kedudukan sebagai kesebelasan utama dalam dua perlawanan persahabatan berturut-turut men3ntang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini, namun pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu menganggap dirinya masih perlu bersaing dengan pemain lain untuk mengekalkan kedudukannya.

Memandangkan pasukan negara telah mencatatkan dua kemenangan men3ntang Brunei, 4-0, dan Hong Kong, 2-0, Cools berkata, mood di sekeliling pasukan negara sememangnya positif tetapi mengingatkan rakan sepasukannya bahawa cabaran sebenar bermula minggu depan.

sumber:- SH

Dalam saingan Kumpulan E pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia akan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun ini.- Bernama