sukan Syok Woo Baca

Impian Malaysia seakan boleh direalisasikan

Impian untuk beraksi di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023 kini seakan boleh direalisasikan skuad Harimau Malaya.

Ia berdasarkan persembahan positif yang dipamerkan anak buah Kim Pan Gon dalam dua aksi persahabatan terutama ketika menundukkan pasukan ranking 147 dunia, Hong Kong 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Walaupun berdepan pasukan yang berada di ranking lebih atas, pasukan kebangsaan berjaya mempamerkan persembahan meyakinkan, malah lebih baik dari aksi ketika menewaskan Brunei 4-0, Jumaat lalu.

Permainan bertenaga, berintensiti tinggi dan pergerakan lebih teratur berjaya diterjemahkan pemain negara terutama di babak pertama yang menyaksikan benteng lawan terpaksa bekerja keras menepis asakan skuad Harimau Malaya.

Kelincahan dan kepantasan dua pemain sayap, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid selain ditambah dengan kombinasi pemain lain termasuk dua jentera tengah, Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba dilihat menjadi antara elemen yang berjaya mencetuskan gerakan berb@haya skuad negara ke kubu lawan.

Malah, sebahagian besar pemain skuad Harimau Malaya seakan diberi ‘jantung’ tambahan apabila sentiasa bergerak dan berlari termasuk ketika pasukan melakukan s3rangan dan bertahan.

Bukan itu sahaja, ketenangan dalam mematahkan s3rangan lawan menyaksikan penjaga gol, Farizal Marlias tidak banyak bekerja keras di benteng terakhir dan itulah sebenarnya yang selama ini diharapkan penyokong.

Justeru, jika persembahan itu dapat dipamerkan dengan konsisten dalam setiap perlawanan akan datang, tidak mustahil tiket ke Piala Asia tahun depan akan menjadi milik skuad Harimau Malaya.

Aksi lebih baik juga pasti akan dapat dipamerkan pada aksi pertama Kumpulan E kempen kelayakan berdepan Turkmenistan, 8 Jun ini selepas pemain berpengalaman, Safiq Rahim mengakui masih ada beberapa aspek yang patut diperbaiki.

Memiliki tempoh lebih kurang seminggu lagi sebelum berdepan cabaran sebenar, ia pasti menjadi tempoh terbaik untuk Pan Gon memperkemaskan lagi persembahan skuad Harimau Malaya.

Ia termasuk memutuskan kesebelasan utama terkuat selain memilih senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas misi besar negara dalam kempen kelayakan nanti.

sumber:- BH

Soal ‘senjata’ pemain ke-12, skuad Harimau Malaya tidak perlu khuatir kerana ribuan penyokong pasti akan membanjiri Stadium Nasional dalam setiap aksi kelayakan termasuk berdepan Turkmenistan, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).