sukan

Secara rasminya FAM akan umum

Masa depan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney akan ditentukan selepas laporan rasmi prestasi pasukan sepanjang enam bulan pertama ini diserahkan kepada Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, Maloney perlu menyiapkan laporan keseluruhan prestasi skuad Harimau Muda negara dalam tiga kejohanan yang dilalui bermula saingan Piala AFF B-23 di Kemboja Februari lalu diikuti temasya Sukan Sea di Vietnam pada bulan lalu, serta Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Katanya, laporan berkenaan akan di bawa oleh O’Donell sebelum ia dibincang dalam mesyuarat pengurusan skuad kebangsaan yang akan ditentukan tarikhnya nanti.

Laporan yang akan dibuat beliau (Maloney) bukan saja mengenai Piala Asia, tetapi juga pencapaian daripada awal tahun bermula dari di Kemboja.

“Dari situ laporan akan diserahkan kepada Pengarah Teknikal untuk dinilai dan kemudian dibentangkan dalam mesyuarat. Jadi kita bukan hanya melihat di Piala Asia saja, tapi juga pencapaian di Piala AFF dan Sukan Sea,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini nasib Maloney diibaratkan seperti telur di hujung tanduk susulan kegagalan skuad B-23 di Piala Asia B-23 di Uzbekistan ketika ini.

Dalam saingan itu, skuad negara gagal meraih sebarang mata apabila tunduk dalam semua aksi Kumpulan C apabila tewas 1-4 di tangan Korea Selatan, tumbang 0-3 kepada Thailand sebelum menamatkan perjuangan kalah 0-2 dengan Vietnam.

Rentak sumbang juga sebenarnya dipamerkan dalam dua saingan terdahulu apabila terkandas di peringkat kumpulan kempen Piala AFF di Kemboja dengan tewas dua kali kepada Laos.

Nasib sama turut tidak memihak anak buat Maloney apabila gagal membawa pulang pingat di temasya Sukan Sea selepas tewas di peringkat separuh akhir kepada Vietnam, sebelum dikecewakan pula Indonesia dalam perebutan pingat gangsa.

sumber:- HM

Untuk rekod, pengendali dari Australia itu mempunyai kontrak sehingga Disember 2023 dengan tugasan berikutnya adalah mengharungi kempen Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula tahun depan.