sukan

Ini Tidak Adil

Menyalahkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) susulan prestasi hambar dilakar skuad Bawah 23 tahun (B-23) dalam tiga kejohanan diharungi sebelum ini sebagai satu ‘hukuman’ yang tidak adil.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPBN, Safirul Azli Abu Bakar menegaskan tidak wajar sekiranya program pembangunan elit itu dilabel ‘bermasalah besar’ apatah lagi hanya lapan lepasan dari NFDP membarisi skuad B-23 ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, baru baru ini.

Safirul yang juga Pengarah SportsWork itu menjelaskan kegagalan skuad B-23 perlu dinilai berdasarkan skuad itu sahaja dan aksi buruk dalam kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak bermakna NFDP turut gagal.

Tidak kira menang ataupun kalah, pasti ada komen daripada pelbagai pihak jadi kita menghormati semua pandangan. Cuma untuk menuding jari kepada satu program yang sudah dilaksanakan, ia perlu bersandarkan kepada banyak fakta dan faktor.

Dengan itu, barulah kita boleh rumuskan bahawa program ini maksudnya gagal, lemah dan sebagainya. Contohnya dikatakan tiada pertukaran pengetahuan antara jurulatih dengan kepakaran luar, jurulatih pembangunan di luar turut mendapat semua keperluan asas bola sepak yang sepatutnya ada.

Pertandingan pun tidak boleh dijalankan kerana C0VID-19. Cuma tidak masuk akal untuk bandingkan program kita yang baru berusia lapan tahun dengan Korea Selatan ataupun Jepun yang sudah bermula puluhan tahun lalu.

Gagal memang gagal di AFC tetapi (NFDP) bukan gagal cuma belum lagi berjaya. Kalau kita tidak mendapat keputusan yang diimpikan, kita kena tengok apa yang tidak kena dengan skuad itu kerana petanda kejayaan sudah ada ketika peringkat bawah umur.

Kita tidak boleh pukul rata keputusan B-23 digunakan bagi mengatakan seluruh program bermasalah. Tidak adil (salahkan NFDP) kerana pandangan saya mengenai Piala Asia B-23 itu, memang pemain beraksi di bawah kemampuan mereka dalam ketiga tiga perlawanan itu.

“Apapun, kita perlu buktikan di semua peringkat usia kita dalam jangka masa lima atau 10 tahun lagi, kita boleh berada di tahap sama dengan Vietnam dan Thailand. Itu penanda aras kita,” katanya.

Dalam masa sama, Safirul turut membidas pandangan yang menyatakan puluhan juta ringgit sudah dilaburkan untuk NFDP namun masih belum menjana hasil yang diimpikan.

Persepsi ini sebenarnya kurang tepat kerana sebelum NFDP diwujudkan pun, memang kita sudah belanja berjuta ringgit untuk menjalankan program berjangka pendek contohnya Harimau Muda, Liga Bolasepak Rakyat, program realiti dan mengadakan pelbagai pertandingan ‘ad hoc’ di peringkat domestik dan antarabangsa

sumber:- BH

“Dengan adanya NFDP, perbelanjaan ditujukan khusus untuk pembangunan akar umbi yang membawa manfaat kepada puluhan ribu bakat kanak-kanak dan remaja serta membangunkan ribuan jurulatih di peringkat pembangunan,” katanya.