sukan

Reaksi Pan-Gon kesilapan dilakukan Farizal Marlias

Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon enggan mengulas mengenai tindakan terburu-buru penjaga gol Mohd Farizal Marlias selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023, malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, aksi Mohd Farizal memusnahkan harapan skuad Harimau Malaya untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata selepas Abdulla Yusuf Helal menjaringkan gol kemenangan Bahrain menerusi sepakan penalti pada minit ke-81.

Sepakan penalti diberikan pengadil apabila penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam usaha menyelamatkan keadaan selepas dia terlepas menangkap bola di udara.

Pan Gon berkata apa yang berlaku dalam aksi itu akan dinilai oleh pasukan bimbingannya sebelum sebarang keputusan dibuat menjelang perlawanan terakhir kempen kelayakan Kumpulan E men3ntang Bangladesh di Stadium Nasional, Selasa depan.

“Saya tidak akan mengulas mengenai perkara peribadi, ini semua akan dianalisis dan dibuat keputusan oleh pasukan kejurulatihan kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.

Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 63,000 penonton, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-55 namun Ali Abdulla Haram pantas menyamakan kedudukan untuk Bahrain dua minit kemudian.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Pan Gon berdepan perlawanan mesti menang ke atas Bangladesh bagi mencerahkan peluang menamatkan penantian selama 15 tahun untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia.

Menjelang perlawanan menentang Bangladesh, Pan Gon berkata sebanyak tiga perlawanan yang perlu ditempuhi dalam tempoh tujuh hari menjadikan pertembungan dengan pasukan ranking ke-188 dunia itu sukar.

Jadi kami melakukan penggiliran pemain untuk menyelamatkan skuad, saya percaya kami bersedia dengan baik kerana mereka (Bangladesh) bermain dua perlawanan dengan skuad yang sama tetapi kami membuat penggiliran, ia boleh menjadi kelebihan buat kami.

“Kami tidak sepatutnya kehilangan peluang ini untuk ke peringkat akhir (Piala Asia), pemain tahu betapa pentingnya beberapa hari mendatang,” kata jurulatih Korea Selatan berusia 53 tahun itu.

Selepas dua perlawanan, Bahrain kini di tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata manakala Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengutip tiga mata di tempat kedua dan ketiga manakala Bangladesh tercorot tanpa mata.

sumber:- AWANI

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara teratas layak ke Piala Asia 2023.