sukan

Dua import sah sertai pasukan

Negeri Sembilan FC (NSFC) membawa masuk dua pemain import baharu bagi menggantikan dua pemain import disingkirkan iaitu Kossi Adetu dan David Mawutor, pada sesi perpindahan pemain yang sedang berlangsung.

Dua pemain import yang menjadi anggota baharu dalam skuad Hobin Jang Hobin itu ialah Yashir Pinto dari Palestin dan Gustavo Almeida Dos Santos dari Brazil.

Pengurusan NSFC dalam satu kenyataan menjelaskan, kedua-dua pemain import itu dibawa masuk bagi menggantikan pemain yang dikeluarkan pada sesi perpindahan ketika ini.

Katanya, Yashir, 31, dilahirkan di Santiago, Chile adalah nama yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak Malaysia kerana pernah beraksi bersama Melaka United FC, Perak FC dan PKNP FC, sebelum ini.

Pemain memiliki ketinggian 1.85 meter itu beraksi di bahagian tengah dan pernah mewakili pasukan kebangsaan Palestin dengan memiliki 19 penampilan.

“Sebelum bersama NSFC, dia pernah beraksi bersama pasukan Khon Kaen United di Liga 1 Thailand,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Gustavo Dos Santos, 25, pula dilahirkan di Sao Paolo dan akan beraksi bersama NSFC di posisi striker.

pemain yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu pernah beraksi bersama UiTM FC dalam saingan Liga Super 2020 sebelum menyertai kelab Divisyen 3 Jepun, Kagoshima United FC.

“Kelab mengucapkan selamat datang kepada kedua-dua pemain itu dan berharap mereka dapat memberikan sumbangan terbaik membantu pasukan pada pentas Liga Super dan Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Difahamkan kedua-dua pemain import itu sudah diuji dalam aksi persahabatan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu.

Kemasukan kedua-dua pemain terbabit melengkapkan lima pemain import dalam skuad K Devan yang sedang memburu pencapaian terbaik pada saingan Liga Super musim ini, selepas mereka berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

sumber:- HM

Tiga lagi pemain import yang dikekalkan ialah Matheus Alves, 28, dari Brazil, Herold Goulon, 33, (Perancis) dan Amid Nazari, 30, (Filipina).