sukan

Kita tak boleh bermain dalam Asean lagi

Skuad Harimau Malaya akan menggunakan tempoh persiapan selama setahun bagi memantapkan pasukan menjelang saingan Piala Asia tahun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau tidak mahu skuad negara menjadi mangsa buli di pusingan akhir itu nanti, lantas persiapan terbaik perlu dilakukan.

Katanya, satu perbincangan akan diadakan bersama pengendali negara, Kim Pan-gon mengenai perancangan pasukan.

Kita perlu lihat pasukan ini akan dipersiapkan dalam tempoh setahun lagi jika (Piala Asia) bermain 2023, kemungkinan juga bermain 2024 selepas tuan rumah akan dibincangkan pada Oktober depan.

“Kalu 2024 lagi bagus, maknanya kita ada persiapan dan persiapan kali ini adalah lebih komprehensif yang mana kita perlu untuk membawa pasukan Malaysia lebih jauh lagi,” katanya pada sidang media selepas kemenangan skuad negara ke atas Bangladesh malam tadi.

Ujarnya lagi, persiapan pasukan selepas ini termasuk aksi persahabatan perlu berdepan dengan pasukan terkuat Asia dan tidak lagi tertumpu dengan pasukan pasukan di rantau Asean.

Kita tak boleh bermain dalam Asean lagi, saya nak lihat kita pergi lebih jauh dan Kim Pan-gon sudah menyiapkan persiapan untuk setahun dan saya yakin dia tahu apa yang dia buat.

“Apabila masuk ke pusingan akhir Piala Asia kita tak nak dibuli. Mungkin kedudukan teratas ada pasukan kuat seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia, tapi biarlah kita melawan,” katanya yang muncul Presiden pertama selepas 43 tahun membawa pasukan ke Piala Asia.

Dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, skuad negara berjaya menewaskan Bangladesh 4-1 untuk muncul antara lima naib juara terbaik di pusingan ketiga kelayakan.

sumber:- HM

Dengan kejayaan itu, skuad Harimau Malaya bakal membuat penampilan keempat di Piala Asia dan yang ketiga layak secara merit (1976, 1980 dan 2023) ketika pada 2007 Malaysia beraksi atas tiket tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia.