sukan

TMJ dititah terus terajui JDT – Terkini

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan terus menerajui dan mengendalikan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memartabatkan sukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Perkara itu dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang berkenan melantik Tunku Ismail sebagai Pemangku Raja mulai hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Tunku Ismail membuat kejutan apabila mengumumkan mengundur diri daripada pengurusan kelab JDT.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards ketika itu mengesahkan Tunku Ismail masih kekal selaku pemilik kelab berkenaan.

Katanya, Tunku Ismail akan melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan tertinggi JDT seperti diumumkan, namun akan terus memantau perkara berkaitan infrastruktur, komersil dan kewangan kelab.

Tunku Ismail memberi sinar baharu buat kelab bola sepak di Johor itu selepas mengambil alih pengurusan kelab bermula penghujung musim 2012.

Sepanjang tempoh hampir sedekad ini, pelbagai kejayaan demi kejayaan diraih skuad Harimau Selatan bermula dengan memenangi gelaran Liga Super pada musim 2014 dan mengekalkan gelaran sehingga musim lalu.

JDT turut membawa masuk bintang seperti bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar dan bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Guiza.

Tunku Ismail adalah anak sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Tunku Ismail dilantik sebagai Raja Muda Johor pada April 2006 sebelum dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada Januari 2010.

sumber:- HM

Pemangku Raja adalah seseorang yang memegang kuasa raja sebagai wakilnya sama ada ketika ketiadaan raja, ketika raja sedang sakit atau raja belum dewasa.