sukan

FAM sudah beri bayangan

Aksi yang lebih sengit bakal menanti skuad Harimau Malaya selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan akan membvvru pasukan di ranking lebih tinggi untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan skuad kebangsaan kini sudah berada pada tahap yang berbeza selepas layak ke Piala Asia sekali gus ‘menu’ lebih baik perlu dihidangkan sebagai persiapan ke kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan pihaknya perlu menunggu cadangan ataupun program daripada pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon (KPG) sebelum boleh menyusun langkah seterusnya.

Kita sudah layak ke pusingan akhir Piala Asia jadi kita perlu adakan perlawanan yang bertaraf tinggi berbanding sebelum ini. Kita tahu pasukan yang beraksi di Piala Asia ini bukan pasukan calang-calang, ada sudah layak ke Piala Dunia.

Jadi kita kena lihat perkara ini dan saya rasa Pan Gon pun pasti memikirkan perkara yang sama. Sudah tentu kita akan cuba mendapatkan pasukan di ranking yang lebih baik.

Tetapi kita menunggu program daripada Pan Gon dahulu kerana dia yang lebih arif untuk tentukan pasukan mana untuk perlawanan persahabatan. Kita pun kena semak juga sama ada pasukan itu sedia untuk bertemu dengan kita.

“Kita ada jendela antarabangsa pada September nanti jadi ketika itu akan ada perlawanan persahabatan. Ada lagi sekitar tiga bulan jadi kita akan cuba yang terbaik,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail mencadangkan supaya skuad kebangsaan cuba mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Eropah sebagai persiapan ke Piala Asia tahun depan.

Jamal menjelaskan, ia bagi memastikan pemain mendapat keyakinan yang lebih tinggi apabila menentang pasukan besar di peringkat Piala Asia nanti.

sumber:- BH

Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia juga boleh mencari pasukan besar dari Asia seperti Arab Saudi sekiranya tidak mendapat pasukan Eropah untuk mengadakan aksi persahabatan.