sukan

Tiada lagi perlawanan persahabatan ‘cap ayam’

Tiada lagi perlawanan persahabatan ‘cap ayam’ untuk pasukan Harimau Malaya pada masa akan datang apabila mereka memilih lawan lebih hebat atau berada di kedudukan lebih baik dalam usaha meningkatkan lagi kualiti skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya bukannya memperkecilkan kemampuan negara lain yang berada di ranking lebih bawah, namun mahu memastikan skuad Harimau Malaya berada di landasan tepat dalam persediaan ke Piala Asia 2023.

Beliau berkata, kejohanan terbabit bakal menyaksikan skuad Harimau Malaya kemungkinan bertemu dengan lawan yang pernah beraksi di Piala Dunia sekali gus perlu persediaan rapi bagi memastikan pasukan kebangsaan tidak pulang dengan tangan kosong.

Sekarang ini kita sudah berada di landasan lain kerana mungkin akan bertanding bersama pasukan mempunyai pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia.

Jadinya, kita kena naik taraf perlawanan persahabatan dengan mengaturnya bersama pasukan yang berada di ranking lebih baik.

Pada masa sekarang, kita akan melihat program yang diatur oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon kerana beliau akan berikan tentatif kepada FAM.

“Terpulang kepada beliau untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan Eropah atau mahu mengadakan kem latihan di luar negara selain membuat persediaan di dalam negara saja,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Harimau Malaya akan menggunakan tempoh kira-kira setahun untuk melakukan persiapan rapi bagi mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan besar di kejohanan Piala Asia 2023.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa pihaknya akan berbincang dengan Pan-gon mengenai perancangan yang harus dilakukan dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya supaya lebih mantap.

Beliau berkata, persiapan itu termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih besar dan tidak lagi boleh menumpukan kepada lawan dari rantau Asia Tenggara.

sumber:- HM

Selain itu, terdapat juga cadangan daripada pemerhati bola sepak supaya skuad kebangsaan cuba mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Eropah sebagai persiapan ke Piala Asia tahun depan.