sukan

Ubi Muda bakal dilahirkan tidak lama lagi

Produk ‘sempurna’ daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dijangka hanya dapat dikeluarkan tiga tahun lagi iaitu selepas kelompok ini menamatkan proses pembelajaran masing-masing pada 2025.

Itu pandangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Azli Abu Bakar selepas memaklumkan generasi yang akan bergraduasi pada 2025 menjadi kelompok pertama mengharungi keseluruhan tempoh 11 tahun dalam program elit bola sepak itu.

Justeru, beliau yang juga Pengarah SportsWork itu membayangkan kelompok pemain ini akan memiliki kualiti jauh lebih baik berbanding ‘abang-abang’ mereka yang menamatkan pengajian lebih awal sebelum ini.

“Secara mudahnya, NFDP berkata kalau kita latih kanak-kanak bermula seawal tujuh tahun sehinggalah 17 tahun, wujudkan kelompok pemain yang agak besar disertakan dengan semua keperluan asas bola sepak.

..beri jurulatih dan kurikulum serta pertandingan di semua peringkat usia. NFDP dilancarkan pada 2014, jadi mereka yang masuk pada usia tujuh tahun dan 100 peratus mengharungi 11 tahun berada dalam sistem akan keluar pada 2025.

Insya Allah jika melalui semua perjalanan selama 11 tahun itu, kita akan ada kelompok pemain berkualiti yang lebih baik. Cuma selepas itu, kita kena sentiasa mengesan perkembangan mereka tahun demi tahun,”

Dalam masa sama, Safirul turut mengharapkan semua pasukan dapat mengikut jejak langkah NFDP dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memiliki akademi dan boleh ‘menuai ubi’ masing- masing.

Selain NFDP, JDT adalah satu-satunya kelab domestik yang aktif melakukan pencarian bakat dan membangunkan pemain muda seawal umur 11 ke 12 tahun. Apabila mencecah umur 13 tahun, ada bakat elit ini yang memilih ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan ada yang memilih Akademi JDT.

Sebab itulah kita akan mula melihat skuad kebangsaan B-16 tahun selepas ini akan didominasi oleh pemain AMD dan JDT kerana di kedua-dua tempat inilah bakat muda berumur 13 ke 17 tahun mendapat pendedahan latihan terbaik dalam negara buat masa ini.

sumber:- BH

“Kedua-dua akademi ini adalah satu-satunya institusi yang mendapat pengiktirafan dua bintang dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di negara kita,” katanya.