sukan

Peluang cerah tarik perhatian kelab antarabangsa

TUMPUAN meluas terhadap Piala Asia menyaksikan kejohanan bola sepak berprestij itu sebagai platform terbaik buat barisan pemain negara, menempa nama tersendiri bagi menarik perhatian kelab antarabangsa.

Pada saingan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebanyak 836.6 juta peminat berinteraksi melalui platform digital, yang menjadikan ia jumlah tertinggi dalam sejarah penganjuran kejohanan itu selain hampir menggandakan jumlah 434 juta tontonan televisyen pada edisi 2015 di Australia.

Capaian di Facebook rasmi Piala Asia 2019 berjaya merekodkan 169.4 juta, Twitter (106.5 juta), Instagram (132.4 juta) dan menerusi YouTube kejohanan selama 28 hari itu, mencatat lebih 700,000 juta jam tontonan.

Perhatian diberikan dunia pada edisi terdahulu, menyaksikan Piala Asia 2023 berupaya membuka peluang kepada pemain watan menjenamakan diri sebagai pemain berkebolehan selain menjadi titik tolak permulaan kepada karier baharu di luar negara.

Secara tidak langsung, perkara itu mampu menjadi elemen terpenting yang mendorong barisan pemain terutama yang masih muda berusaha memperbaiki mutu permainan, bagi memastikan diri terpilih untuk berpeluang memperagakan kehebatan sebenar di kejohanan itu nanti.

Malah, legenda skuad kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail, mencabar skuad Harimau Malaya membuktikan kepada dunia bahawa bola sepak Asia tidak hanya terhad kepada pasukan gergasi seperti Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi.

Bermain di Piala Asia 2023 akan buka peluang kepada pemain negara tunjukkan aksi terbaik supaya dunia mula melihat bola sepak Malaysia, kata Jamal Nasir ketika dihubungi.

“Selama ini mereka (dunia) mungkin tak nampak, hanya nampak Asia adalah Jepun dan Korea Selatan yang bermain di Piala Dunia, tetapi mereka juga tidak ke mana. Jadi, pastikan Piala Asia 2023 menjadi titik tolak kepada pasukan Malaysia,” kata bekas pemain pertahanan Pahang itu.

Minggu lepas, skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan Gon menamatkan penantian 42 tahun untuk Malaysia layak secara merit ke Piala Asia, selepas menduduki tempat kedua Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 sekali gus mara selaku antara lima naib juara terbaik dari enam kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun lebih empat dekad gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Berdasarkan senarai akhir pemain dalam skuad Pan Gon menghadapi kempen kelayakan baru-baru ini, hanya dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Dion Cools yang bersama kelab Belgium SV Zulte Waregem dan Junior Eldstal mewakili kelab Thailand Chonburi FC.

Jumlah sama dicatat dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) ke Kejohanan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan bulan ini apabila hanya Luqman Hakim Shamsudin yang beraksi dengan kelab Belgium KV Kortrijk dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Azul Claro – Jepun), berpangkalan di luar negara.

Namun, lebih ramai pemain negara dijangka bakal menerima tawaran dari kelab antarabangsa jika Malaysia tampil dengan persembahan berkualiti di Piala Asia 2023, malah lebih banyak mata akan terbuka sekiranya pasukan negara berjaya mencipta kejutan melepasi peringkat kumpulan.

Justeru, Jamal Nasir menasihatkan barisan pemain sedia ada supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian ke Piala Asia dan segera mempersiapan diri untuk berdepan saingan sengit di kejohanan itu.

sumber:- SH

“Setiap pemain jangan berasa bangga kerana kita masih jauh lagi nak pergi, jadi kena bersedia, fokus dan sentiasa ingat bahawa negara memerlukan anda semua,” katanya. – Bernama