sukan

Jangan Sampai Ganggu

Penyusunan jadual Liga Malaysia musim depan perlu dilakukan dengan teliti bagi memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya tampil lebih ‘mengaum’ pada aksi Piala Asia 2023.

Ini kerana, skuad Harimau Malaya memerlukan tempoh persediaan kira-kira sebulan sebelum kejohanan berprestij itu berlangsung, sekali gus tidak mahu pasukan kebangsaan diganggu dengan jadual Liga Malaysia yang padat.

Pemerhati bola sepak Dr Pekan Ramli berkata, situasi terbabit harus dipandang serius oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengelak berlakunya keadaan ‘huru hara’, sekali gus menyebabkan persediaan skuad Harimau Malaya terganggu.

Beliau berkata, keadaan itu pernah berlaku ketika skuad Harimau Malaya menyertai kejuaraan Piala AFF musim lalu di Singapura yang menyebabkan pasukan kebangsaan pulang awal kerana tempoh persiapan tidak mencukupi.

“ada saya, dua minggu persiapan sebenarnya tidak mencukupi kerana sedia maklum skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan lebih hebat dan pernah beraksi di Piala Dunia.

“Semua cakap mengenai pemain dan fasiliti, namun sebenarnya jadual Liga Malaysia turut berperanan penting bagi memastikan semua pemain dapat menyertai kem latihan pasukan kebangsaan seperti ditetapkan.

“Oleh itu, perbincangan awal perlu dilakukan oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan jadual saingan liga tidak mengganggu persediaan skuad Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya boleh membuat pertukaran beberapa pemain dengan membawa masuk tonggak yang dilihat beraksi cemerlang bersama kelab untuk menguat lagi pasukan kebangsaan.

Ini kerana, katanya, sudah pastinya akan ada pemain yang mempamerkan aksi terbaik pada baki saingan liga kelak.

Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 43 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini.

sumber:- HM

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan kemudian beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007 di atas tiket sebagai tuan rumah bersama.