sukan

Janji dikota – Kelantan FC

Kelantan Football Club (Kelantan FC) seakan terus mengotakan janji membarisi pasukan dengan pemain asal dari negeri itu apabila mula membawa ‘pulang’ seorang demi seorang pemain kelahiran Kelantan ke pasukan berkenaan, musim ini.

Terbaru, pasukan Kijang Merah itu membawa masuk bekas pemain kebangsaan, Abdul Latiff Suhaimi yang berasal dari Kota Bharu.

Abdul Latiff yang berketinggian 180 sentimeter dengan kelebihan bermain di posisi pertahanan juga pertama kali beraksi untuk tanah kelahirannya.

Pemain berusia 33 tahun itu berpengalaman beraksi di tujuh kelab termasuk Pulau Pinang, Selangor, T-Team, Terengganu, Kedah, Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kehadiran pemain itu menyarung jersi Kelantan FC diumumkan dalam laman sosial rasmi pasukan hari ini.

Pengurus Operasi TRW Kelantan FC, Qusmaini Noor Rosli berkata, kehadiran bekas kapten Pulau Pinang itu akan memberi kelebihan buat pasukan bagi posisi pertahanan tengah pasukan.

“Kehadiran Latiff diharap dapat mengekalkan rekod kekebalan pasukan mengharung baki saingan liga musim ini. Dia akan melapor diri dalam masa terdekat,” kata Qusmaini.

sumber:- HM

Tinjauan ke laman sosial pasukan itu juga mendapati peminat Kelantan FC seakan ‘merestui’ kehadiran Latiff apabila ramai memberi maklum balas positif dengan pengumuman itu.