sukan

Pesanan Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC)

Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Syazwan Zainon menyeru sepasukannya membuktikan kemampuan terbaik mereka dalam saingan Piala AFC yang akan bermula pada 24 Jun hingga 30 Jun ini.

Menurut pemain senior Kedah itu, peluang beraksi di peringkat tertinggi ini wajib diambil dengan sebaik mungkin oleh semua pemain kerana bukan mudah bagi mana-mana pasukan untuk layak mendapat tempat bagi mewakili negara ke peringkat itu.

Peluang layak ke Piala AFC bukan sesuatu yang mudah, jadi dengan peluang yang kita dapat ini kita wajib memanfaatkannya kerana ramai pemain idamkan beraksi di peringkat ini dan dalam Liga Malaysia pun ada yang tak mendapat peluang ke peringkat Piala AFC ini sejak memulakan karier hingga tempoh bersara.

“Jadi semua pemain terutama pemain tempatan perlu ambil peluang untuk buktikan kemampuan mereka kepada jurulatih kebangsaan dan juga jurulatih skuad muda atas kemampuan yang mereka ada,” katanya yang bersama pasukan ke Bali.

Syazwan juga berkata beliau sedar tekanan tinggi bakal dihadapi setiap pemain KDA FC kerana saingan tiga kelab Asean lain iaitu Bali United FC, Kaya FC dan Visakha FC yang berada dalam kumpulan G pastinya tidak akan memberi laluan mudah buat Sang Kenari.

Tekanan yang akan kami hadapi memang tinggi kerana turut berhadapan penyokong tuan rumah Bali United FC di tempat lawan pada perlawanan pertama nanti dan apa yang kami perlukan adalah kuatkan fokus serta semangat juang kami dalam semua perlawanan itu.

Kami sudah bertekad dengan sasaran mahu lepas ke peringkat seterusnya dan kami akan mula dengan menetapkan perancangan berdasarkan satu demi satu perlawanan yang akan kami hadapi.

sumber:- HM

“Dengan perancangan yang diatur melalui kombinasi barisan import, pemain senior dan pemain muda dalam pasukan, saya yakin kami dapat mencapai tahap permainan yang dirancang,” katanya.