sukan

Ada Sebab Tersendiri Pasukan pilih saya untuk sidang media

Striker Kuala Lumpur City (KL City), Safee Sali mengharapkan tuah ‘hole-in-one’ turut melanda pasukannya dalam usaha meraih keputusan positif pada perlawanan pertama kumpulan H saingan Piala AFC berdepan PSM Makassar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.

Safee yang juga bekas pemain kebangsaan membawa pulang Mazda CX-5 dan beberapa lagi hadiah lumayan selepas melakukan pukulan selubang atau ‘hole-in-one’ pada saingan Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club (GGCC), minggu lalu.

Pemain berusia 38 tahun itu turut memenangi set iron Mizuno JPX921 serta kredit makan dan minum bernilai RM2,000 daripada GGCC selepas mengungguli kategori Medal B kejohanan itu.

Saya rasa disebabkan hole-in-one itulah pasukan pilih saya untuk sidang media hari ini, jadi sangat bertuah, kata Safee sambil berseloroh. Mana tahu dengan nasib yang ada sekarang adalah detik yang baik untuk pasukan dan harap ia berterusan sampai habis Piala AFC serta seterusnya.

KL City diundi dalam Kumpulan H akan beraksi dua perlawanan yang mana selepas PSM Makassar, skuad City Boys akan berdepan wakil Singapura, Tampines Rovers di gelanggang sama, 30 Jun ini.

Selain itu, Safee yang pernah beraksi bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya mengingatkan rakan sepasukannya supaya berhati-hati dengan keupayaan pemain negara jiran itu yang dianggap memiliki tahap kecergasan yang tinggi.

“Kebanyakan kelab Indonesia memiliki pemain import yang baik dan dibantu pemain tempatan yang rajin. Mungkin kita akan berdepan kesukaran untuk menyekat kemaraan mereka dan ia menuntut fokus sepenuhnya dari pemain KL City,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah PSM Makassar, Rasyid Bakri berkata bahawa pasukannya tidak gentar untuk berdepan KL City walaupun skuad kendalian Bojan Hodak itu memiliki kelebihan selaku tuan rumah.

sumber:- BH

Kami barisan pemain sudah bersedia untuk menampilkan aksi yang maksimum bagi perlawanan esok. Kami datang jauh demi pasukan dan Indonesia juga, katanya.