sukan

Luahan Dari TMJ sendiri

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap duit yang banyak bukan jaminan sepenuhnya untuk pasukan bola sepak mengecapi pelbagai kejayaan.

Sebaliknya, Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja Johor menjelaskan pasukan boleh mengecapi pencapaian tertinggi menerusi kerja keras yang dilakukan dalam menguruskan kelab berkenaan.

Justeru, beliau berkata dengan kejayaan yang sudah dikecapi JDT hari ini, penyokong harus bersyukur dan menghargai kelab itu dengan membanjiri stadium setiap kali skuad Harimau Selatan beraksi.

Katanya, antara pencapaian besar kelabnya termasuk JDT sudah memiliki stadium yang canggih sedangkan masih ada pasukan lain belum memiliki stadium sendiri.

Sebagai manusia kita kena bersyukur atau pun hargai pencapaian kelab kerana benda ini bukan mudah. Ada duit berapa banyak pun tak semestinya awak boleh menang piala.

Kita perlu sokongan setiap kali di stadium, saya pun terpaksa menyeru. Kami sudah buat macam-macam, kami sudah ada stadium yang canggih, orang lain tak ada stadium pun, takkan masih tak nak datang stadium lagi.

“Stadium sudah ada, pusat latihan sudah ada, semua cukup dan kami akan cuba lagi apa yang kami boleh buat untuk penyokong, tak kisah aktiviti di stadium atau pun kemudahan lain,” katanya pada majlis perjumpaan bersama penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Selain itu, Tunku Ismail juga menganggap kehadiran ke stadium kini menjadi inisiatif penyokong sendiri dan bukan lagi tanggungjawab kelab.

Katanya, penyokong harus melihat kembali ketika zaman awal pembangunan JDT pada 2013 yang mana situasi perit terpaksa dihadapi kelab sebelum meraih apa yang dikecapi hari ini.

Dulu kalau nak menang macam satu perkara luar biasa, apabila dapat seri pun sudah bersyukur. Kalau nak bandingkan sekarang, macam langit dengan bumi.

Orang lain berdoa untuk ada satu kelab macam kami, kami pula di sini tidak hargainya. Penyokong harus menyokong, memberi lebih semangat kepada pemain.

sumber:- BH

“Tunjukkan satu sikap anda menghargai kami yang berada dalam kelab kerana anda perlukan kami dan kami pun perlukan anda juga,” katanya.