sukan

Status Liridon Krasniqi menjadi tanda tanya

Hala tuju pemain naturalisasi negara Liridon Krasniqi menjadi tanda tanya apabila dia sudah ‘bercerai’ dengan kelab berpangkalan di India Odisha FC selepas menyertai secara pinjaman tahun lalu.

Malah, ketika ini, timbul pula desas-desus Liridon bakal mewarnai kembali saingan Liga Malaysia dengan mewakili beberapa pasukan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Liridon yang berasal dari Kosovo pernah mewakili Kedah sebelum berhijrah ke Melaka United dan terakhir menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain tengah berusia 30 tahun itu turut meninggalkan persoalan di laman Instagram miliknya mengenai kelab mana yang bakal disertai bagi musim akan datang.

Menerusi Insta Story, Liridon mengesahkan bahawa dia tidak lagi bersama Odisha sambil menganggap dapat mengharungi saat yang hebat bersama kelab itu.

Terima kasih Odisha FC. Saya benar-benar mendapat saat yang hebat bersama anda semua. Kepada pengurusan, kakitangan, peminat, terima kasih kerana sentiasa melayan saya dengan baik dan penuh hormat.

“Selamat berjaya untuk musim akan datang. Saya akan sertai pada masa akan datang, mungkin akan menjadi jurulatih,” katanya.

sumber:- BH

Mengikut rekod, Liridon pernah memenangi beberapa kejuaraan di Liga Malaysia termasuk Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan Liga Super 2020.