Masa depan Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Brad Maloney sama ada khidmatnya akan terus digunakan atau sebaliknya hanya akan diketahui dalam tempoh terdekat ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya belum lagi membuat keputusan mengenai masa depan Maloney sekali gus menafikan segala desas-desus yang mengaitkan jurulatih daripada Australia itu bakal diganti kelak.
“Mungkin awal bulan ini keputusan mengenai nasib Maloney akan diumumkan. Saya tidak mahu menyatakan lebih lanjut mengenai perkara itu sama ada beliau kekal atau sebaliknya,” katanya.
Terdahulu, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa khidmat Maloney mungkin ditamatkan sekali gus akan diganti dengan individu lain kelak.
Malah, turut bertiup kencang kemungkinan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan menggalas jawatan itu bagi memastikan skuad B-23 turut memiliki corak permainan seperti skuad senior.
Selain itu, turut disebut sebagai pengganti Maloney adalah pembantu jurulatih pasukan senior kebangsaan, Pau Marti Vicente berikutan pengalamannya mengendalikan pasukan belia Barcelona sebelum ini.
Mengikut rekod, skuad B-23 negara kalah pada kesemua perlawanan peringkat kumpulan di kejohanan Piala Asia B-23 baru-baru ini yang berlangsung di Uzbekistan.
Sebelum itu, skuad muda ini juga gagal menampilkan aksi cemerlang selepas hampa di Sukan Sea Hanoi tanpa sebarang pingat.
Terdahulu, Maloney mengambil alih tugasan ketua jurulatih pasukan B-23 negara dari bekas ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang ditamatkan kontrak oleh FAM.
sumber:- HM
Kejayaan tertinggi Maloney bersama pasukan negara adalah apabila berjaya membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF B-19 2019 namun tewas 1-0 kepada pasukan Australia.