sukan

Akan dihantar surat rasmi berhubung mutu pengadilan

Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) akan menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan membabitkan Sri Pahang berdepan Terengganu FC (TFC), kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, keputusan itu bagi mempertikaikan beberapa keputusan pengadil pada perlawanan itu.

Walaupun keputusan perlawanan tidak boleh diubah, ia bertujuan untuk memastikan FAM mengambil perhatian serius berhubung mutu pengadilan dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini pun kami menghantar surat membabitkan perlawanan Sri Pahang berdepan PJ City untuk memastikan mutu pengadilan diberikan tumpuan.

“Tetapi perkara sama masih lagi berlaku terutama membabitkan Sri Pahang hingga menjejaskan keputusan perlawanan,” katanya.

Kelmarin, Sri Pahang tewas 1-2 kepada TFC dalam saingan Liga Super ketika skuad itu seakan-akan boleh membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Namun, beberapa keputusan kurang tepat pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria dikatakan mempengaruhi keputusan perlawanan.

Tidak terkecuali, pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel turut mempersoalkan keputusan pengadil terutama memberikan penalti kepada TFC.

Pada 10 April lalu, SPFC menghantar surat kepada FAM mengenai mutu dan keputusan pengadilan ketika perlawanan Sri Pahang berdepan PJ City FC.

Menerusi surat itu, SPFC kesal dengan insid3n yang berlaku membabitkan keputusan perlawanan itu.

sumber:- BH

SPFC melahirkan ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan dan keputusan pengadil, pembantu pengadil ketika perlawanan Liga Super itu.