sukan

MFL siap sedia kaji cadangan TMJ ini

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia mengkaji dan meneliti cadangan untuk melangsungkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) di sebelah petang seperti mana yang diadakan di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, cadangan yang dilontarkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melihat liga domestik berjalan di waktu petang dianggap idea yang baik dan bernas.

Katanya, MFL sentiasa terbuka menerima apa juga cadangan bagi meningkatkan lagi mutu dan kualiti perjalanan Liga M.

Berkenaan cadangan Tuanku (Tunku Ismail), MFL sentiasa melihat dan menerima sesuatu cadangan ke arah yang cukup positif.

Musim ini kita dapat melihat sepak mula di sebelah petang diadakan dalam aksi ACL (Liga Juara-Juara Asia) di Johor Bharu sebelum ini, dan jelas kita dapat saksikan di mana tempoh waktu di negeri Johor boleh dikatakan amat sesuai untuk bermain di sebelah petang.

Namun sekretariat MFL harus mengkaji perkara ini dari semua sudut dengan lebih teliti sebelum dicadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah pada masa akan datang,” katanya kepada Arena Metro.

Malah tegasnya, perubahan waktu di sebelah siang itu juga sebenarnya dapat menaikkan nilai komersial Liga M.

“Jika dilihat daripada aspek komersial, cadangan TMJ itu akan melihat sepak mula di sebelah petang memberikan dinamik baharu kepada bola sepak tempatan di mana penyokong bersama ahli keluarga dapat menikmati perlawanan bola sepak pada hujung minggu,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengakui suasana perlawanan Liga M akan bertambah menarik jika ia dilangsungkan waktu siang.

Jelasnya, selain memberi peluang buat penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium di waktu siang yang lebih panjang berbanding malam, ia juga dapat beri pilihan waktu siaran langsung yang lebih pelbagai.

sumber:- HM

Malah katanya, aksi di siang hari akan membawa suasana seperti di Eropah yang lebih baik dan jelas.