sukan

Beraksi seperti Final

Pertembungan antara Terengganu FC (TFC) berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC malam ini selayaknya berstatus ibarat aksi final namun takdir undian ‘memaksa’ dua pasukan ini bertemu seawal pusingan kedua Piala FA 2022.

Ia lebih berat kepada skuad Penyu memandangkan selepas merentasi halangan daripada juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) di pusingan pertama, KDA yang juga naib juara Liga Super pula menunggu mereka dalam perebutan ke suku akhir Piala FA.

Prestasi hambar yang dilakar anak buah Aidil Sharin Sahak dalam beberapa aksi Liga Super tampak ‘dimaafkan’ selepas pasukan itu berjaya mara ke pusingan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC dan kini tumpuan mereka beralih untuk misi di tanah air.

Anak buah Nafuzi Zain pula ‘membayar’ kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC (SPFC) dengan kepenatan kerana mereka dapat berehat setakat tiga hari sebelum kembali ke padang men3ntang KDA namun memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Apapun, igauan lampau tampak bakal ‘menghantui’ TFC berdasarkan sejarah yang dilakar mereka apabila berdepan KDA kerana skuad Kenari sentiasa membuatkan mereka menitiskan air mata di pentas Piala FA.

Berdasarkan statistik yang dikutip bermula 2007, kedua-dua pasukan ini hanya bertemu sebanyak dua kali namun di pentas separuh akhir – kedua-duanya dimenangi KDA yang ketika itu dikenali sebagai Kedah.

Kali pertama pada separuh akhir edisi 2010 yang menyaksikan Kedah menang 4-1 secara agregat sebelum Kedah sekali lagi mengetepikan mereka 4-0 secara agregat pada edisi 2017.

Jadi, TFC perlu bekerja keras bagi memastikan ‘bayangan semalam’ ini tidak lagi berulang apatah lagi tiada aksi timbal balik bagi perlawanan malam ini.

‘Winner takes all’ – hanya kekesalan akan dibawa pulang oleh pasukan yang kalah jadi kedua-dua pasukan tidak boleh turun dengan semangat ala kadar malam ini – apatah lagi Piala FA adalah laluan paling ‘singkat’ untuk ke Piala AFC musim depan.

Apapun yang berlaku, salah satu pasukan yang dilabel antara pilihan untuk menjulang Piala FA perlu menundukkan muka dan akur ‘ditendang keluar’ daripada saingan terbabit bagi musim ini.

sumber:- BH

Menanti mereka di suku akhir adalah ‘hadiah’ yang cukup lumayan – bertemu satu-satunya pasukan dari Liga Perdana yang masih ‘bertahan’ dalam Piala FA iaitu Kuching City FC.