sukan

KDA FC TERPAKSA AKUR

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa meneruskan sebahagian besar perlawanan Liga Super, Piala FA termasuk saingan Piala AFC tanpa kelibat Marc Vales Gonzalez.

Ini susulan pemain pertahanan dari Andorra itu terpaksa menjalani prosedur rawatan lutut akibat kec3deraan yang dikutip pada perlawanan pra-musim lalu.

Situasi ini juga menyaksikan KDA FC kini bergantung sepenuhnya kepada empat import sahaja – Dechi Marcel dari Ivory Coast, Sanrawat Dechmitr (Thailand), Mahmoud Al-Mardi (Jordan) dan Ronald Ngah Wanja (Cameroon) sebaik cabaran Liga Malaysia bersambung Julai ini.

Perkembangan ini juga menyaksikan Sang Kenari akan menggunakan seratus peratus barisan pertahanan tempatan terdiri daripada Akmal Zahir, Kamil Akmal, Rodney Celvin, Azmeer Aris, Loqman Hakim dan Ariff Farhan pada aksi Piala AFC, Piala FA dan saingan Liga Super.

Menerusi maklumat yang dihebahkan oleh skuad Sang Kenari semalam, Gonzales terpaksa sehingga enam minggu dan bakal terlepas beberapa saingan besar termasuk saingan Piala AFC pada Ogos ini.

Pemain pertahanan KDA FC, Marc Vales Gonzalez menjalani prosedur rawatan lutut pagi tadi (semalam) dan akan menjalani latihan pemulihan selama enam minggu.

Kelibat beliau yang agak terhad musim ini akibat kecederaan menyebabkan beliau akan terlepas untuk beraksi dalam saingan Piala AFC, sebahagian besar perlawanan Liga Super dan Piala FA.

“Warga KDA FC mendoakan beliau cepat sembuh untuk terus membantu pasukan pada aksi musim ini,” kata kelab itu.

Sementara itu Gonzalez turut meluahkan rasa kecewanya kerana misi untuk membantu pasukan tidak kesampaian, selain ucapan tahniah kepada pasukannya yang berjaya layak ke saingan separuh akhir pusingan zon Asean Piala AFC baru-baru ini.

sumber:- BH

Gonzalez juga turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang menghantar mesej tanda sokongan kepadanya untuk segera sembuh dan kembali kepada pasukan.