sukan

Status benteng terakhir yang paling mahal

Penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa memegang status benteng terakhir paling mahal bagi saingan Liga Super musim ini.

Ia selepas laman transfermarkt.com meletakkan nilai pasaran €275,000 (RM1.26 juta) buat penjaga gol kelahiran Perancis berketinggian 1.97 meter itu.

Nilai terbaru yang dikemaskini pada 19 Mei lalu itu bagaimanapun dilihat menurun berbanding RM1.37 juta dipegangnya pada 28 Disember lalu.

Seorang lagi penjaga gol import di Liga Malaysia (Liga M), Kevin Ray Mendoza yang mewakili Kuala Lumpur City (KL City) di kedudukan kedua dengan tanda harga RM1 juta.

Jumlah yang diletakkan ke atas pemain Filipina berusia 27 tahun itu bagaimanapun meningkat berbanding RM918,920 ketika kemaskini pada November tahun lalu.

Tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias pula ketiga termahal dengan nilai pasaran RM918,920 dan termahal bagi barisan penjaga gol tempatan.

Empat penjaga gawang berkongsi tanda harga RM689,190 termasuk Khairulazhan Khalid (Selangor), Khairul Fahmi Che Mat (Sabah), Rahadiazli Rahalim (TFC) dan Kalamullah Al Hafiz (PJ City).

Paling menarik adalah penjaga gol muda berusia 21 tahun, Rahadiazli yang menunjukkan peningkatan nilai pasarannya berbanding RM229,730 pada November tahun lalu.

Seorang lagi penjaga gol yang menunjukkan peningkatan mendadak dalam nilai pasarannya adalah pemain Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Syihan kini memegang tanda harga RM574,325 yang mana nilai itu jauh lebih tinggi berbanding hanya RM114,865 pada kemas kini November tahun lalu.

sumber : BH

Senarai nilai pasaran penjaga gol Liga Super

1. Mamadou Samassa (Sri Pahang) – RM1.26 juta

2. Kevin Ray Mendoza (KL City) – RM1 juta

3. Farizal Marlias (JDT) – RM918,920

4. Khairulazhan Khalid (Selangor) – RM689,190

5. Khairul Fahmi Che Mat (Sabah) – RM689,190

6. Rahadiazli Rahalim (TFC) – RM689,190

7. Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi (PJ City) – RM689,190

9. Syihan Hazmi Mohamed (N Sembilan) – RM574,325

10. Ifwat Akmal Chek Kassim (KDA) – RM574,325

11. Samuel Somerville (Selangor) – RM459,460

12. Haziq Nadzli (JDT) – RM459,460

13. Shahril Sa’ari (KDA) – RM459,460

14. Sharbinee Allawee Ramli (Sarawak Utd) – RM459,460

15. Khatul Anuar Md Jalil (Penang) – RM459,460