sukan

Pujuk Rayu Selangor FC demi penyokong

Selangor FC jelas menguji am4rah ‘pemain ke-12’ mereka dengan persembahan tidak konsisten yang diperagakan sepanjang musim ini dan kemuncaknya adalah selepas kekalahan 2-0 di tangan Melaka United FC, Selasa lalu.

Selepas dibenam menerusi dua jaringan bekas pengg3mpur yang pernah menyumbang puluhan gol untuk mereka sebelum ini, Ifedayo Olusegun, penyokong The Red Giants ‘meletup’ apabila mempersoalkan aksi hambar diperagakan Selangor menerusi laungan sorakan di Stadium Hang Jebat.Kekalahan yang meletakkan anak buah Michael Feichtenbeiner itu untuk berada di tangga ketujuh Liga Super dengan 12 mata jelas tidak dapat diterima penyokong yang bercita-cita untuk melihat pasukan mereka beraksi di pentas Asia.

Justeru, aksi tetangga Lembah Klang antara Selangor berdepan KL City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi signifikan yang besar buat Selangor dalam misi memburu tiket ke saingan Asia musim depan.

Berdasarkan pencapaian semasa, ‘taraf’ KL City FC tampak lebih tinggi kerana ketika Selangor hanya dapat bermimpi untuk bersaing di pentas Asia, anak buah Bojan Hodak sudah merealisasikan – malah layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC musim ini.

Jadi, ini adalah peluang keemasan buat barisan pemain skuad Red Giants untuk ‘memujuk’ hati penyokong mereka yang jelas masih lagi membara dan perlu bijak supaya tidak lagi mencurah ‘petrol’ ke atas kemarahan penyokong setia mereka.

Tiada jalan lain yang terbentang di hadapan mereka kecuali menang ke atas KL City FC sekali gus mara ke suku akhir Piala FA buat kali ketiga sejak 2012 – kali terakhir mereka melakukannya pada 2018.

Selepas mara ke suku akhir lima tahun berturut-turut bermula 2007 hingga 2011, Selangor banyak kali ‘lenyap’ di peringkat suku akhir apabila hanya berjaya mara ke peringkat terbabit pada edisi 2013 dan 2018.

Selebihnya, mereka terkandas awal dan ini sudah pasti satu cabaran yang besar buat Selangor untuk menempah tiket ke suku akhir pada musim ini apatah lagi memegang status sebagai juara terbanyak Piala FA (5 kali) bersama Kedah Darul Aman (KDA FC).

Apa yang menjadi tonik buat mereka mungkin berdasarkan rekod ke atas KL City FC di pentas Piala FA yang masih bertahan di mana mereka bertemu dua kali iaitu pada edisi 2009 dan 2018 namun kedua dua aksi dimenangi oleh SFC.

Mereka menang 2-1 pada pusingan kedua edisi 2009 sebelum menang menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat 3-3 secara agregat pada suku akhir edisi 2018 dalam laluan mereka mara ke final sebelum ditundukkan Pahang 2-0.

Peluang sudah terbuka depan mata jadi Selangir seharusnya tidak mensia-siakan kesempatan ini kerana ini jalan paling ‘mudah’ untuk mereka ke Piala AFC musim depan.

sumber:- BH

Jika gagal di sini, mereka perlu memburu dua kedudukan teratas dalam Liga Super untuk beraksi di pentas Asia tahun depan. Jadi persoalannya, sampai bila misi ke Asia akan terus menjadi ‘zikir’ semata mata buat penyokong Gergasi Merah?