sukan

Sejarah Tersendiri Dari JDT

Gergasi bola sepak’ Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menempa sejarah tersendiri apabila kini memegang ‘takhta’ sebagai pasukan paling bernilai Asia Tenggara (ASEAN).

Menurut laman sesawang terkenal, transfermarkt.com, skuad Harimau Selatan itu memintas kelab Buriram United apabila memiliki nilai RM39.8 juta berbanding wakil dari Thailand itu yang dianggarkan hanya RM38.2 juta.

Ini menyaksikan peningkatan nilai sebanyak RM7.2 juta selepas pasukan itu yang sebelum ini menjadi kelab kedua paling bernilai dari ASEAN memegang ‘tanda harga’ sebanyak RM32.6 juta, Mac lalu.

Satu lagi kelab dari Thailand, BG Pathum United pula bernilai RM34.8 juta – hanya tiga kelab dari ASEAN yang tersenarai dalam kelompok 100 pasukan paling bernilai dari benua Asia berdasarkan laman sesawang itu

Secara keseluruhan dalam kelompok 100 pasukan paling bernilai di Asia itu, JDT berjaya menduduki tangga ke-83 manakala Buriram United (86) dan BG Pathum United (99).

Berdasarkan laman sesawang yang sama, kelab paling bernilai di Asia menjadi milik pasukan dari Arab Saudi, Al-Hilal dengan nilai RM275 juta disusuli satu lagi pasukan dari Arab Saudi, Al Nassr (RM243 juta) dan Al-Duhail dari Qatar (RM150.3 juta).

Shanghai Port yang menduduki tangga ketujuh menjadi kelab paling bernilai dari China dengan nilai RM130 juta sementara lawan yang menanti JDT di pusingan 16 terbaik Liga Juara Juara Asia (ACL) iaitu Urawa Red Diamonds di tangga ke-14 dengan RM94.8 juta.

Gelaran kelab paling bernilai dari Korea Selatan dipegang Jeonbuk Hyundai Motors dengan nilai RM92 juta membolehkan mereka menduduki tangga ke-16 daripada 100 pasukan.

Berdasarkan pecahan mengikut benua, kelab paling bernilai di Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) adalah El-Ahly (RM155 juta) sementara Atlanta United (RM349 juta) di Zon Persekutuan Persatuan Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF).

Zon Konfederasi Sepak bola Amerika Selatan (CONMEBOL) ‘dipegang’ Flamengo yang bernilai RM744 juta sementara Wellington Phoenix di Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC) dengan RM29 juta.

Sebagai perbandingan, tiga kelab paling bernilai di seluruh dunia mengikut penilaian transfermarkt adalah dari Eropah iaitu dua wakil dari Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Liverpool serta juara Perancis, Paris Saint Germain.

sumber:- BH

Manchester City bernilai RM5 bilion sementara PSG pula bernilai RM4 bilion dan The Reds diletakkan nilai sebanyak RM3.9 bilion.