sukan

Pemain Keseorangan Lelaki Negara ‘smash’ naib juara – Tze Yong

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong membuktikan bukan sesuatu yang mustahil untuk dia mengatasi lawan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Singapura, semalam.

Pemain ranking ke-47 dunia itu menampilkan aksi terpuji apabila menyingkirkan naib juara Masters Malaysia minggu lalu yang juga pemain ranking ke-12 dunia dari Hong Kong, Ng Ka Long dalam pertembungan pertama antara mereka menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

Kemenangan itu pastinya memberikan tonik buat Tze Yong, 22, bagi menghasilkan keputusan terbaik dalam kejohanan kali ini yang menjadi sebahagian persiapannya menjelang saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos.

Perebutan tiket ke suku akhir esok bakal menyaksikan Tze Yong yang dibimbing Hendrawan bertemu seorang lagi wakil dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu yang juga bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemain.

Sementara itu, empat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke pusingan kedua kejohanan kali ini.

Tang Jie-Valeree mara selepas mengatasi pasangan New Zealand, Oliver Leydon Davis-Anona Pak 21-14, 21-14 dan akan bertemu beregu Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tsz You bagi merebut tempat ke suku akhir.

Aksi membabitkan Pang Ron-Ee Wei pula menyaksikan mereka berjaya menewaskan Jones Ralfy Jansen-Linda Efler dari Jerman 23-21, 21-16 untuk menempat pertemuan dengan pilihan kelapan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, esok.

Peng Soon-Yee See yang tidak berdepan masalah untuk menang ke atas rakan senegara, Soong Joo Ven-Goh Liu Ying 21-14, 21-18 dijangka berdepan ujian sebenar apabila dijadual menentang pilihan ketiga dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Juara 2018, Soon Huat-Shevon yang kini bergerak secara profesional tidak perlu bermandi peluh apabila lawan mereka di pusingan pertama Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan menarik diri dan akan berdepan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari untuk perebutan tiket ke suku akhir.

sumber:- BH

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dua lagi beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dan Choong Hon Jian-Peck Yen Wei apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.