sukan

Tidak setuju dengan alasan itu

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky ‘naik angin’ selepas semua beregu lelaki negara tersingkir di pusingan kedua Terbuka Singapura, semalam.

Jurulatih dari Indonesia itu, berkata pemain seolah-olah tidak belajar daripada kekalahan sebelum ini apabila masing-masing mengulangi kesilapan sama termasuk gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang diletakkan harapan untuk menyerlah di Kota Singa itu.

Katanya, alasan keletihan yang diberikan Izzuddin-Sze Fei selepas tewas dalam aksi bertemu pasangan India, M R Arjun-Dharuv Kapila adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Saya kecewa. Hal yang sama, persembahan yang sama terus diulang-ulang oleh pemain kita.

Pergerakan di dalam gelanggang juga ulang kesilapan yang sama. Pemain kita tak pernah belajar daripada kesalahan mereka. Terutama Sze Fei-Izzuddin.

“Kita menaruh harapan yang besar kepada mereka tapi mereka tewas kepada pasangan India. Menang di set pertama dan hampir menang di set kedua dan masuk ke set ketiga ambil mudah, beri tekanan pada diri sendiri.

“Paling tidak dapat diterima apabila mereka bagi alasan penat. Itu alasan yang mengarut buat saya.

Mereka kalah di pusingan pertama Malaysia Masters iaitu pada hari Selasa. Mereka ada masa banyak sebelum Terbuka Singapura. Apa yang penat,” kata Rexy.

Selain Izzuddin-Sze Fei, dua lagi beregu lelaki kebangsaan, turut terkandas di pusingan kedua iaitu Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri yang tewas di tangan pasangan Singapura, Hee Yong Kai-Loh Kean Hean manakala Man Wei Chong-Kai Wun Tee tuduk kepada beregu Indonesia, Mohammad Ashan-Hendra Setiawan.

Sumber:HM

Lebih malang, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara itu di suku akhir selepas langkah dua beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh V Shem-Low Juan Shen turut tersekat di pusingan kedua.