sukan

Saham Ubi Muda JDT sudah naik

Pemain terbaik Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) 2022, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri mengharapkan gelaran yang dimenanginya itu dapat membantu namanya ‘mel3tup’ dalam kancah bola sepak tempatan.

Pemain Johor Darul Ta’zim II (JDTII) itu menegaskan anugerah terbabit akan membakar semangatnya dalam usaha membina nama dalam pentas bola sepak di Malaysia dan juga rantau ini.

Saya akan tetap bekerja keras untuk menempa nama demi pasukan JDT dan juga negara. Saya akan jadikan AFF sebagai satu titik permulaan untuk kehidupan dan karier sebagai pemain bola sepak, katanya.

Mengulas mengenai kejayaan skuad Harimau Muda merangkul kejuaraan AFF selepas menundukkan Laos di pentas final, pemain berusia 18 tahun itu melontarkan rasa syukur selepas mencipta sejarah dengan memenangi edisi kali ini.

Pertama sekali, saya mahu ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana melepaskan kami dan juga semua kelab di Malaysia. Saya memberi penekanan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana saya daripada JDT.

“Susah untuk mengungkapkan perasaan ini tetapi kami menikmati perasaan dan kejayaan yang dicapai ini. Kami bermain dengan sangat baik dan berdisiplin selain perancangan yang dilakukan membuahkan hasil,” katanya.

Sebagai rekod, ini adalah kejuaraan kedua buat negara selepas memenangi edisi 2018 di bawah kendalian Bojan Hodak yang ketika itu turut berlangsung di Indonesia.

Pada aksi final di Stadium Patriot Chandrabhaga itu, jaringan daripada Faiz Amer Runnizar dan Aliff Izwan Yuslan memastikan Malaysia berjaya membalas dendam atas kekalahan di tangan lawan sama pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

sumber:- BH

Lebih manis, anak buah Hassan Sazali Waras menghadiahkan kekalahan pertama buat Laos pada kempen itu selepas mereka memenangi semua lima perlawanan bermula peringkat kumpulan sehinggalah ke separuh akhir.