Gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) melebarkan rekod kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas menang 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.
Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selain mendaki satu anak tangga liga di kedudukan keempat dengan mengutip 16 mata hasil sembilan perlawanan manakala skuad Kenari jatuh di tempat kelima liga dengan 14 mata.
Terdahulu TFC yang masih segar hasil kemenangan 1-0 pada aksi Piala FA pusingan kedua menundukkan skuad itu bermula garang apabila berjaya di depan pada minit ke-13 melalui jaringan bekas striker pelawat, Kpah Sherman.
Jaringan itu berpunca daripada gerakan pemain tengah, Petrus Shetembi yang melorongkan bola kepada Faisal Halim sebelum pemain itu melakukan hantaran silang di sebelah kiri pintu gol pelawat yang disambar Sherman untuk pasukannya mendahului 1-0.
Pada minit ke-22, tuan rumah berpeluang untuk menambah jaringan kedua menerusi rembatan kencang Shetembi, namun berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kasim.
Seminit berselang, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, tapi peluang itu gagal disempurnakan striker utamanya, Wanja Ngah yang menolak tinggi melepasi palang gol biarpun hanya berdepan dengan penjaga gawang, Mohd Suhaimi Husin.
Berbekalkan lebih 6,000 peminat setia, tuan rumah mendapat dua lagi peluang terhidang pada minit ke-34 menerusi Manuel Ott dan Sherman tiga minit berselang, bagaimanapun dua tonggak import itu gagal menterjemahkan peluang itu dengan jaringan.
Skuad Kenari juga mendapat satu lagi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun rembatan kencang Muhammad Arif Farhan MD Isa dari luar kotak penalti pada minit ke-36 hanya menggegarkan palang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.
Sedar banyak gerakan tidak menjadi, Aidil Sharin melakukan tiga pertukaran serentak bermula pada babak kedua dengan memasukkan Azammuddin Akil, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli dan Mohamad Heshamudin Ahmad bagi menggantikan kapten, Mohd Syazwan Zainon, Asnan Ahmad dan Muhamad Kamil Akmal Abd Halim, namun masih gagal memburu gol penyamaan.
Sebaliknya tuan rumah yang mendominasi permainan berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan mengelirukan Ott dari luar kotak penalti pada minit ke-57 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.
sumber:- HM
Pada masa kec3deraan, pemain gantian, Azammuddin berjaya merapatkan kedudukan 2-1, bagaimanapun kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.